Selasa, 27 Disember 2011

Bersih, bebas dan mesra rakyat kunci kejayaan Pulau Pinang

Roketkini.com


GEORGE TOWN – Rakyat Malaysia di Pulau Pinang menyambut perayaan Krismas bersama kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan harapan pentadbiran mesra rakyat yang diamalkan dapat memastikan semua anak negeri hidup aman damai tanpa rasuah dan jenayah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, negeri pulau mutiara itu telah menikmati hasil daripada kerajaan yang bersih, bukan sahaja dibuktikan melalui pujian Ketua Audit Negara dan Transparecny International tetapi juga pelaksanaan tender terbuka dan perang melawan rasuah.

“Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan bajet kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai sejak 2008.

“Lebihan bajet ini digunakan untuk program sosial dan pemberian tunai kepada warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi dan pelajar. Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menghapuskan miskin tegar pada 2009,” katanya dalam mesej Krismas semalam.

Tambah beliau, bagi tahun depan, pendapatan minimum untuk keluarga miskin akan ditingkatkan kepada RM600 sebulan di mana kerajaan negeri akan menambah secara “top up” bagi semua keluarga yang berpendapatan kurang dari jumlah itu.

Menurutnya, usaha ini dapat membantu cita-cita kerajaan Pakatan Pulau Pinang untuk menjadi negeri pertama menghapuskan kemiskinan menjelang tahun 2015.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata, program pembangunan dan kemajuan sahaja tidak cukup jika tidak dilaksanakan usaha pemerintahan yang baik melalui reformasi institusi yang berasaskan kebebasan, keadilan, kebenaran dan demokrasi.

“Kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman dibenarkan di Pulau Pinang dengan usaha kerajaan negeri menyediakan Dataran Pidato yang pertama di Malaysia dan hampir setiap minggu pelbagai protes diadakan di jalan-jalan raya (yang mengkritik kerajaan negeri),” ujarnya.

Katanya, urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) telah memastikan kerajaan yang lebih sensitif kepada keperluan rakyat, mudah ditemui rakyat dan mampu menyampaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.