Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mengemukakan satu lagi aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPFB).
Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, aduan itu dibuat kerana badan yang dianggotai peneroka itu tidak berpuas hati dengan penjelasan SKM sebelum ini, berhubung pelantikan tersebut.
"Kita minta satu pendirian daripada SKM sama ada Isa benar-benar (menjadi) ahli koperasi Felda," katanya kepada pemberita selepas menghantar aduan berkenaan di pejabat SKM, Kuala Lumpur.
Penjelasan SKM berkenaan didakwa bercanggah dengan satu surat perdana menteri bertarikh 15 Ogos yang menyatakan bahawa Isa merupakan pengerusi KPFB.
Sedangkan, jawapan yang diberikan SKM dalam satu surat bertarikh 10 November lalu menunjukkan Isa belum disahkan sebagai pengerusi KPFB, kata Mazlan.
Malah, surat SKM itu juga tidak menyebut mengenai status keahlian bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sebagai ahli KPF, kata Mazlan lagi.
Aduan ke atas KPF yang dibuat oleh salah seorang anggota koperasi berkenaan, Abdul Rahman Ramli antara lainnya turut menuntut supaya SKM membatalkan keputusan lembaga pengarah koperasi berkenaan yang meluluskan keahlian Isa.
"Berdasarkan Fasal 2 dan Fasal 11 Undang-undang Kecil KPF, hanya peneroka, keluarga peneroka, kakitatangan Felda (kumpulan) tetap dan koperasi gabungan (layak menjadi ahli KPF)," aduan itu dipetik.
Aduan hari ini merupakan susulan kepada aduan pertama yang dibuat Abdul Rahman pada 18 Oktober lalu, setelah mendapat penjelasan SKM pada 10 November.
Mengulas lanjut, Mazlan Aliman berkata SKM perlu membuat penjelasan lanjut memandangkan pelantikan pengerusi KPF mempunyai kaitan dengan penyenaraian satu lagi anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.
Mazlan turut mempersoalkan mengapa entiti seperti koperasi "diheret" ke bursa saham Malaysia, sedangkan beliau tidak pernah mendengar perkara itu berlaku sebelum ini.
"Ini satu percubaan serius yang perlu bagi SKM memperjelaskan (termasuk) soal tujuan, soal prosedur, undang-undang kecil yang berkaitan. Adakah ia bercanggah antara satu sama lain?
"Ia mesti diperjelaskan kerana ia membabitkan bukan sahaja lebih 220 ribu pemegang saham dalam KPF, tetapi ia membabitkan koperasi terbesar di Malaysia," katanya.
Mazlan juga berharap SKM "tidak terikat dengan tangan-tangan politik" yang didakwanya menjadi dalang dalam isu perlantikan Isa – yang juga bekas naib presiden Umno.
"Kalau SKM mahu menjadi satu agensi kerajaan yang berwibawa, tolong hormati segala (peruntukan) undang-undang kecil koperasi dan undang-undang kecil yang mengawal di bawah akta koperasi yang sedia ada," katanya.
Mazlan yang turut mengadakan perbincangan selama kira-kira 30 minit dengan pegawai SKM itu juga memberi tempoh sebelum 5 Januari kepada SKM untuk memberi maklum kepada aduan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.