Khamis, 24 November 2011

Skandal NFC: SPRM, polis jangan ‘double standard’

Oleh: Nazar Hashim

PENANTI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia diingat supaya tidak bersikap ‘double standard’ dalam isu penyelewengan RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFC).

Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang, Norhayati Jaafar berkata, pihak berkuasa itu perlu segera menyiasat NFC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi membuktikan ketelusan.

“Kami mendesak SPRM dan PDRM membuktikan ketelusan mereka menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal NFC, membabitkan wang rakyat yang telah diamanahkan oleh kerajaan,” kata beliau kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Semang, hari ini.


Anggota Wanita KEADILAN Pulau Pinang turut berdemo di hadapan Balai Polis Kubang Semang,Penanti

Laporan polis itu merupakan satu dari 13 laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung beberapa penyelewengan dalam pengurusan NFC membabitkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Selain Shahrizat, mereka menamakan empat individu lain iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar, dan Pengerusi NFC merangkap suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh.

Menurut Norhayati, peruntukan dari hasil kutipan cukai rakyat tidak digunakan untuk rakyat, sebaliknya dimanipulasikan untuk kepentingan kroni dan suku-sakat.

“Objektif asal kementerian menyalurkan peruntukan tersebut ternyata tidak tercapai dan tersasar. Oleh kerana itu Wanita Keadilan Pulau Pinang dengan ini mendesak SPRM dan PDRM segera menyiasat dan membawa mereka yang berlaku curang sebagai pemegang amanah ke muka pengadilan,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, sekiranya Umno dan BN terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan negara, banyak lagi kerosakan dan pemborosan yang melibatkan wang rakyat serta dana kerajaan akan disalahgunakan.

Sehubungan itu katanya, Umno dan BN mesti ditolak secara total dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.