Selasa, 1 November 2011

Seluruh jentera Pemuda PAS diarah bersiap sedia


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengerahkan seluruh anggota pemuda dari seluruh negara bagi membantu kerja-kerja pemindahan, keselamatan, kecemasan, bantuan serta sumbangan kepada mangsa banjir yang diramal akan melanda tanah air.

Bagi menghadapi musibah ini, seluruh anggota AMAL dan pemuda PAS diarahkan bersiap sedia dengan segala peralatan serta kelengkapan semaksima mungkin. Mereka juga akan membantu pasukan keselamatan dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan lain jika tenaga mereka diperlukan. Pengalaman tahun 2006 lalu dimana anggota pemuda PAS mengharung banjir dan berselut lumpur tatkala musibah banjir besar di negeri Johor, Pahang dan Melaka akan dijadikan panduan berharga bagi menghadapi kemungkinan musibah kali ini.

[Gambar - banjir di Terengganu tahun lalu, 2010]

Seramai 10,000 anggota AMAL dan pemuda PAS telah bersedia kali ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan. DPPM yakin, hasil dari sentuhan tarbiyah program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 2011 yang baru berlangsung pada 28-30 Oktober 2011, segenap pemuda PAS akan turun ke kawasan terlibat dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang upah atau ganjaran.

Dalam pada itu, DPPM memperingatkan pemuda PAS serta rakyat umumnya agar sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak pelbagai perkara buruk berlaku. Awasi anak-anak daripada membiarkan mereka mandi di kawasan sungai atau tali air. Jaga kesihatan diri dan anggota keluarga serta mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran jika sakit.

DPPM juga meminta semua Pemuda PAS dan rakyat seluruhnya sentiasa berdoa agar negara ini selamat dari musibah buruk. Mudah-mudahan ramalan kaji cuaca yang meramalkan banjir besar tahun ini tidak berlaku kali ini di negara ini hasil dari doa kita semua.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.