Rabu, 30 November 2011

Sasarkan Cina dan Kristian: Umpama taktik Hitler, kata Guan Eng

Lim Guan Eng


Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan sedang bermain dengan api dengan memangsakan kaum-kaum minoriti di Malaysia sebagai ancaman untuk menakutkan orang Melayu supaya kembali ke pangkuan UMNO. Kedua-dua pemimpin UMNO ini harus berhenti menggunakan kaum Cina dan penganut Kristian sebagai sasaran mudah untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersalah.

Mengikut laporan, Muhyiddin Yassin (gambar kiri) telah menggunakan isu perkauman untuk meniup semangat ahli-ahli UMNO untuk mempertahankan bangsa, budaya dan institusi negara daripada Pakatan Rakyat (PR), di samping memfitnahkan DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. DAP mencabar Muhyiddin untuk membuktikan dakwaannya bahawa agenda DAP adalah untuk membentukkan sebuah negara republik. Ini adalah hasutan dan penipuan semata-mata!

Adakah Muhyiddin dan UMNO sudah ketandusan idea sampai apa-apa skandal kerajaan yang dibongkarkan DAP akan dianggap sebagai serangan terhadap kaum Melayu? Bukankah wang awam yang terbabit dalam skandal-skandal kewangan itu kepunyaan orang Melayu juga? Adakah cukup dengan pendekatan Muhyiddin yang mengaku dirinya Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian, sampai prinsip-prinsip demokrasi, integriti, amanah dan ketelusan semuanya boleh diabaikan begitu sahaja?

DAP percaya bahawa majoriti rakyat Malaysia, sama ada Melayu atau bukan Melayu, akan menolak hujah yang mewajarkan penipuan dan skandal kewangan atas nama perkauman, seperti dalam skandal lembu dan kondo mewah seorang Menteri UMNO, ataupun pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang terlebihan belanja oleh jabatan-jabatan kerajaan sebanyak RM3.7 bilion.

DAP tidak pernah mengambil pendirian anti-Melayu atau anti-Islam. Kenaikan berkali-kali ganda peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam di Pulau Pinang serta penerusan peruntukan untuk sekolah-sekolah agama yang telah ditamatkan oleh UMNO menjadi bukti bahawa DAP menghormati Islam dan adil kepada semua. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah mengusir walaupun sebuah rumah kampung Melayu. Satu-satunya rumah kampung Melayu yang pernah dirobohkan di Pulau Pinang telah diroboh oleh pemaju-kaitan-UMNO yang dipengerusikan seorang bekas ADUN UMNO.

Mungkin menjadi strategi politik yang berkesan bagi UMNO untuk mengambil pendirian anti-Cina, anti-India atau anti-Kristian, tetapi hanya parti yang ingin membunuh diri sahaja yang akan mengambil pendirian anti-Melayu atau anti-Islam. DAP tidak ingin membunuh diri tetapi komited ke arah perdamaian kebangsaan dan kerjasama antara semua.

Di manakah pendekatan sederhana yang dijanjikan konsep 1Malaysia Perdana Menteri, apabila Ketua Penerangan UMNO sendiri boleh mengugut Melayu dengan mengatakan bahawa mereka akan kehilangan hak kerana kononnya masyarakat Cina makin bertambah kuasa dari segi politik dan ekonomi, atau dengan mengatakan bahawa DAP tidak menghormati institusi raja kerana enggan menerima pingat atau darjah kebesaran yang membawa gelaran-gelaran seperti Datuk?

Pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah mengejar gelaran-gelaran seperti Datuk, bukan macam pemimpin-pemimpin BN yang terhegeh-hegeh mengejarnya. Adakah ini bermakna kami tidak menghormati institusi Raja? Jika begitu, adakah mantan Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba juga seorang yang tidak menghormati institusi raja kerana allahyarham juga enggan menerima apa-apa gelaran semasa aktif berpolitik?

Tambahan pula, bagaimana masyarakat Cina boleh bertambah kuasa dari segi politik dan ekonomi apabila bilangan penjawat awam yang berbangsa Cina makin menurun? Di samping itu, masyarakat Cina sudah tidak lagi menguasai sektor-sektor ekonomi seperti perbankan, insuran, industri automobil, pembinaan, komunikasi dan pengangkutan.

Ahmad (gambar kanan) juga telah menyindir DAP sebagai "agen Kristian" kerana Ronnie Liu, Xavier, Elizabeth, Teresa Kok merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Setelah disiasat berulang kali, pihak berkuasa sudah pun mengakui bahawa tidak ada berlaku sebarang penyebaran agama Kristian oleh DAP. Adakah seseorang itu tidak berlayak untuk menjadi ahli EXCO kerana beliau itu seorang penganut Kristian? Tambahan pula, Ronnie Liu bukan seorang penganut Kristian.

Tindakan Ahmad untuk mensasarkan kaum Cina dan penganut Kristian sebagai ancaman kepada orang Melayu adalah perbuatan yang tidak berbeza dengan taktik ketakutan yang digunakan oleh Hilter pada zaman Nazi di negara Jerman untuk mengekalkan kuasa mutlaknya sebagai diktator. Minoriti yang tidak bersalah di negara Jerman telah mengalami penderitaan di bawah pemerintahan Hitler. Adalah tidak berperikemanusiaan bagi UMNO untuk menggunakan penipuan dan fitnah yang serupa hanya untuk memenangi sokongan Melayu.

Iklim ketakutan, permusuhan dan kebencian yang digalakkan UMNO bukan sahaja bertentangan dengan 1Malaysia malah membinasakan perpaduan negara dan keharmonian kaum. Kita semua tahu kerosakan yang telah dibawa oleh Hitler kepada negara Jerman. Oleh itu, rakyat Malaysia hendaklah bersatu dalam pilihan raya umum yang akan datang untuk menghalang UMNO daripada melakukan kerosakan yang sama kepada negara Malaysia.

Baca: Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.