Isnin, 28 November 2011

Perkasa Mahu Umno Terus Kekal Relevan Untuk Bangsa Melayu

MALAYSIA CHRONICLE

PASIR MAS- Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu Umno terus memberi tumpuan dalam perkara yang menyentuh soal kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam pada perhimpunan parti itu, yang berlangsung pada Selasa, selaras dengan dasar awal penubuhannya.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Umno perlu kekal relevan kepada bangsa Melayu sebagai tonggak kerajaan dan dapat menyatupadukan semua kaum yang ada demi pembangunan negara pada masa depan.

"...terutamanya golongan cerdik pandai, mereka ingin melihat Umno benar-benar memperjuangkan agenda Melayu, bukan retorik. Jika Umno mahu kekal relevan sepanjang masa, selain mendapat keyakinan orang Melayu maka sudah tentu mereka perlu terus memperkasakan agenda tersebut dalam perjuangannya.

"Rakyat hari ini, khususnya orang Melayu, sudah pandai menilai antara retorik dan realiti," katanya selepas menghadiri sambutan Maal Hijrah 1433 peringkat Dewan Undangan Negeri Tendong, Isnin.

Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas, mendakwa masih ada yang berpendapat kononnya senario hari ini membayangkan Umno kurang memberi fokus kepada agenda Melayu, meskipun banyak penekanan berhubung perkara itu telah dimanifestasikan kepimpinan parti tersebut.

Katanya, persepsi itu wajar diperbetulkan sebelum ia memberi impak negatif kepada parti, rakyat dan negara.

Beliau percaya berdasarkan pengalaman serta kekuatan yang ada, Umno mampu melakukan perubahan bagi mencorak masa depan negara dalam aspek ekonomi, politik, sosial dan sebagainya dengan lebih berinovasi serta dinamik. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.