Isnin, 28 November 2011

Peneroka mahu saman jika senaraian Felda gagal jamin pendapatan tetap


KUALA LUMPUR ― Warga peneroka Felda, yang melibatkan 1.6 juta orang, mahu mengemukakan saman jika mereka tidak diberi jaminan bertulis penyenaraian diumumkan pentadbiran Najib Oktober lalu akan menjamin pendapatan konsisten sepanjang tempoh pajakan tanah mereka.

Di bawah proses penyenaraian itu tanah mereka akan dipajak kepada Felda Global Ventures mulai Januari depan.

Sebagai langkah awal, mereka yang diwakili oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) ― sebuah badan diiktiraf oleh Felda, mahu mengemukakan injunksi jika tiada jaminan bertulis daripada pihak berkuasa terbabit sebelum 1 Januari 2012.

Pengerusinya Shamsuddin Othman berkata, sekiranya pengurusan tidak boleh memberi jaminan bonus dan dividen 15 peratus, maka tiada gunanya agensi itu disenaraikan.

“(Setakat ini) pihak-pihak terbabit tidak boleh memberi penjelasan yang secukupnya kepada kami, kami peneroka tidak faham apa yang mereka sampaikan.

“Malah, kami pernah tanya sama ada boleh menjamin bonus dan dividen 15 peratus seperti sekarang, mereka kata tidak pasti... jadi kalau tidak boleh memberi jaminan, lebih baik jangan senaraikan Felda,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Shamsuddin yang merupakan ahli lembaga pengarah Felda berkata pihaknya hairan pengurusan kanan agensi pembangunan tanah itu diketepikan dalam membuat keputusan penting berkenan penyenaraian.

Turut hadir pada sidang media itu ialah sembilan orang naib pengerusi JKPP Wilayah dari seluruh negara. Terdapat 11 JKPP Wilayah buat masa sekarang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Felda Global Ventures akan disenaraikan di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012 dalam usaha kumpul dana menjadi syarikat konglomerat global.

Katanya, peneroka Felda akan menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan.

“Mereka minta kami tunggu sehingga penyenaraian selesai baru boleh dapat butiran,” kata Shamsuddin lagi sambil menambah, “ya, ya... sehingga kami memperoleh maklumat yang jelas, kami minta kerajaan tangguhkan penyenaraian ini.”

Dalam kenyataan media yang diedarkan pada sidang media itu, JKPP dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) berkata pihaknya memandang serius percubaan memajak tanah-tanah perladangan milik Felda seluas 360,000 hektar kepada Felda Global Ventures dengan pelbagai syarat tidak munasabah dan jumlah nilai pajakan yang sangat kecil iaitu RM500 juta sahaja.

“JKPP dan GPW mengetahui dengan jelas sumber-sumber pendapatan Felda bermula 1996 tidak lagi bergantung pada kerajaan dan wang pembayar cukai, sebaliknya bergantung pada pendapatan daripada tanah-tanah milik Felda yang diusahakan oleh Felda Plantations.

“Pendapatan Felda daripada tanah-tanah ini adalah sekitar RM2 bilion setahun di mana RM500 juta dibelanjakan untuk pengurusan dan baki RM1.5 bilion digunakan untuk perbelanjaan pertanian dan pembangunan sosioekonomi peneroka,” katanya lagi.

Kata kenyataan itu, berdasarkan pendapatan Felda yang tinggal RM500 juta sahaja selepas penyenaraian, “adakah Felda perlu kembali menggunakan wang kerajaan dan pembayar cukai untuk menanggung perbelanjaan untuk peneroka Felda?”

“JKPP dan GPW menolak sebarang kenyataan bersifat pengumuman, wawancara dan lain-lain kenyataan bahawa program-program Felda sedia ada akan diteruskan, sebaliknya kerajaan perlu mengeluarkan jaminan bertulis kepada JKPP dan GPW bahawa kekurangan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion tersebut akan dibayar oleh kerajaan Malaysia atau Felda Global Ventures sendiri setiap tahun dengan kenaikan bayaran pendapatan sebanyak lima peratus setiap tahun selama mana tempoh pajakan tanah,” kata kenyataan itu lagi.

Ia menambah, jaminan bertulis ini hendaklah dilakukan sebelum tempoh pajakan bermula pada 1 Januari depan.

“... atau JKPP dan GPW tidak teragak-agak untuk menyaman pihak yang berkaitan dan mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Felda daripada memajakkan tanah-tanahnya kepada Felda Global Ventures,” katanya.

Selain itu menurut kenyataan tersebut, JKPP dan GPW menuntut supaya surat pajakan tanah Felda kepada Felda Global Ventures diperiksa oleh JKPP dan GPW bagi memastikan perkara-perkara lain yang merugikan peneroka seperti tanah-tanah sedia ada selain tanah perladangan yang dipanggil ‘additional existing land’ milik Felda yang pada masa ini digunakan oleh peneroka dan generasi baru Felda agar tidak dimasukkan dalam surat pajakan dimaksudkan.

Mengikut laporan media sebelum ini, perjanjian pajakan tanah itu akan berkuat kuasa 1 Januari ini manakala penyenaraian pula dijangkakan pertengahan tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.