KUALA LUMPUR — Tumpuan yang lebih di peringkat akar umbi dalam melaksanakan pelbagai program tanpa mengejar publisiti merupakan antara faktor Pergerakan Puteri Umno kurang menonjol di layar media massa.
Namun, Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar) menegaskan, ia tidak bermakna sayap muda Umno itu tidak bekerja keras, malah mereka amat komited dalam usaha mengurangkan masalah sosial melibatkan generasi muda di negara ini.
“Kita terpanggil untuk lakukan pelbagai program bukan semata-mata di peringkat kebangsaan tapi juga di peringkat bahagian. Kami faham peranan ini mungkin tidak dipandang besar, yang penting usahanya tetap ada.
“Kita tak boleh baiki masalah 100 peratus, tapi sekiranya berusaha, impak yang 20 hingga 30 peratus juga memberi makna,” katanya dipetik Bernama Online.
Beliau berkata program Life is Precious (Hargai Kehidupan) dan B2R (Banteras Ragut dan Rogol) yang dijalankan dengan kerjasama hospital dan tokoh-tokoh banyak memberi pendidikan kepada generasi muda dan pelajar sekolah tentang kepentingan menjaga keselamatan diri dan mengelak daripada terjebak ke dalam apa jua jenis gejala sosial.
Katanya, Puteri juga menyasarkan untuk memperluas beberapa program lain yang telah mempunyai jenama tersendiri seperti Barber on Wheels (khidmat gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah), Prihatin Puteri (program lawatan ke hospital-hospital), klinik bergerak dan Program Siswa Sihat 1Malaysia, yang memberi tumpuan kepada gaya hidup sihat di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi, agar lebih ramai anggota masyarakat menerima manfaatnya.
Menyentuh Perhimpunan Agung Umno yang akan membuka tirainya Selasa depan, Rosnah berkata, Puteri akan terus membawa isu-isu melibatkan generasi muda, masalah serta cadangan dalam mengatasinya, selain beberapa perkara lain seperti Belanjawan 2012 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Oktober lalu.
“Isu lain melibatkan persediaan pilihan raya, calon boleh menang, program transformasi kerajaan dan parti juga kita akan bawa,” katanya.
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan dalam pada itu turut melahirkan harapan agar wakil Puteri Umno terus diberi peluang untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
“Harapan kita ketika ini supaya pucuk pimpinan lihat dan pandang-pandanglah. Kalau ada yang sesuai dijadikan calon, saya sebagai ketua Puteri bukan saja ucap terima kasih tapi bersyukur kerana Puteri juga diberi ruang untuk jadi wakil BN,” katanya.
Ahli Parlimen Papar itu juga berharap agar Puteri terus diberi peluang menyumbang kepada parti di sebalik usia penubuhannya yang baru menginjak 10 tahun.
“Apa yang penting bagi kami adalah untuk perkasakan Puteri. Kita akan cuba perbaiki kelemahan kita untuk terus beri impak kepada masyarakat. Kita berada di sini untuk diberi panduan. Kita tak pernah anggap apa-apa kritikan itu sebagai negatif, sebaliknya kita jadikan pencetus untuk kita perbaiki.
“Beri peluang kepada Puteri untuk membangun. Kami ada jiwa, ada semangat. Kami ada ramai pemimpin yang sanggup berjuang jiwa dan raga. Kami mahu jadi aset kepada parti dan sebahagian jentera parti yang sama-sama berjuang untuk lakukan transformasi,” katanya.
Sambil meminta Puteri diberi peluang, Rosnah berkata: “Tidak adil kata Puteri tidak berbuat banyak, kami berusaha gigih sebenarnya.”
Kepada anggota Puteri, pesannya agar mereka terus memperbaiki mutu perbahasan agar suara, cadangan dan pandangan mereka mampu membuka mata para perwakilan lain.
“Kita nak lihat semangat berkobar-kobar di kalangan anggota yang kita dah saksikan sebelum ini pada 20 November lepas (Amanat oleh Perdana Menteri kepada Pemuda dan Puteri Umno). Kita harap perhimpunan ini akan cetus sejarah tersendiri dan apabila selesai, tak ada lagi motif lain kecuali pastikan kemenangan dalam PRU,” kata Rosnah.
Mengulas mengenai keanggotaan Puteri, Rosnah berkata pada masa ini terdapat hampir 395,000 anggota puteri yang berusia antara 18 hingga 35 tahun, di mana seramai 290,000 telah mendaftar sebagai pemilih.
“Selebihnya masih belum cukup umur (belum mencapai 21 tahun) atau belum mendaftar. Proses daftar pemilih ini berterusan dan kita sasarkan sehingga akhir tahun ini untuk mendaftarkan semua anggota yang layak,” katanya.
Selain itu, Rosnah berkata Puteri akan meneruskan tradisi menjadi platform untuk melahirkan pemimpin pelapis sepertimana yang ditetapkan pada awal penubuhan sayap itu dahulu.
Katanya, Puteri mempunyai ramai pemimpin yang boleh digalas bakat dan kepimpinannya bukan sekadar menjadi ahli politik, tetapi pemimpin di peringkat masyarakat yang boleh membawa perubahan.
Mengenai pilihan raya umum ke-13, Rosnah menegaskan bahawa ia merupakan penentu kepada masa depan negara, dan mana-mana pihak sekalipun tidak boleh memperjudikannya.
“Pada saya ia adalah perkara hidup atau mati pada kita semua. Kalau kita boleh berjaya kali ini, kita boleh berjaya pada bila-bila. Pilihan raya umum kali ini penting untuk kita pertahankan kerajaan sedia ada. Puteri perlu ambil ini secara serius,” katanya.
Namun, Rosnah berkata ia tidak sama sekali bermaksud Puteri mahupun Umno mementingkan diri dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13, sebaliknya hanya mahu melihat negara terus aman dan makmur ditadbir oleh pihak yang selayaknya.
“Kita bukan pentingkan diri kita sekarang. Kadang-kadang kita tengok keikhlasan orang-orang politik, termasuk pembangkang yang meragukan. Kita ada bukti dan dah lihat pentadbiran mereka di beberapa negeri. Takkan kita nak perjudikan masa depan anak cucu kita dan beri keizinan untuk pembangkang mentadbir negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.