Harakahdaily |
MIRI: 'Pasar Tamu' adalah perkataan tempatan untuk penjaja tempatan yang berkumpul dari kampung datang ke bandar Miri untuk menjual produk mereka. Pelbagai barangan yang dijual di situ seperti beras, sayur-sayuran tempatan, ikan dan buah-buahan. Pasar Tamu telah menarik bukan sahaja penduduk tempatan, tetapi juga dari Brunei. Pasar Tamu di pusat Bandaraya Miri perlu dinaik taraf supaya ia jadi lebih teratur dan indah, dan selaras dengan status Miri sebagai Bandaraya Pelancongan. Begitu juga, penjaja yang menjual sayur-sayuran sepanjang Tamu lama juga perlu diletakkan di kawasan khas yang kelihatan lebih bersih dan teratur tidak berselerak seperti sekarang. Pada waktu puncak, tempat letak kereta adalah sukar kerana penjaja menggunakan tempat letak kereta untuk menjajakan produk mereka. Apabila terdapat ramai pengunjung yang datang ke tempat itu, kawasan itu menjadi sesak dan sebahagian daripada mereka letak kenderaan di tepi jalan dan ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas. “Kita mencadangkan kepada pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) supaya meletakkan tempat khas untuk penjaja tersebut iaitu di tengah kawasan lapang di belakang HSBC Bank di mana di situ memang sesuai untuk menjual hasil mereka dan juga tidak menghalang lalu lintas dan mudah untuk letak kenderaan. “Semoga cadangan ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya dari pihak MBM agar kita sama-sama dapat membangunkan Bandaraya Miri dengan lebih teratur dan indah dipandang oleh masyarakat tempatan dan juga para pelancong dari luar,” ujar Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee (gambar). Beliau berkata, sekiranya pihak pemerintah gagal untuk membangunkan Bandaraya Miri, PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk mengambil alih Bandaraya Miri dengan melakukan lebih banyak lagi perubahan yang lebih sesuai untuk semua golongan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik kiranya diberi peluang mengambil alih kuasa dari parti pemerintah sekarang. Masalah peniaga kecil “Kita yakin PAS bersama PR sudah bersedia membangunkan Miri ke arah Bandaraya pelancongan yang lebih baik dan teratur untuk menarik lebih ramai lagi pelancong datang selain memberi banyak manfaat kepada semua golongan bukan setakat untuk pihak tertentu saja atau kroni seperti yang diamal sekarang,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak. Menurutnya, peniaga kecil mendapati sukar untuk menjalankan perniagaan kerana hampir semua perniagaan di Sarawak telah dimonopoli atau dikawal oleh pihak kapitalis, terutamanya di Bandaraya Miri mengikut pandangan peniaga-peniaga kecil di Miri. “Kita bukan menentang pembangunan tetapi kalau hanya pihak tertentu saja yang menguasai ekonomi serta perniagaan dari yang besar sehingga kepada yang sekecil-kecilnya, maka sukar sekali bagi para peniaga kecil untuk bersaing dengan syarikat yang besar,” katanya dalam satu kenyataan. Ini, katanya terutama melibatkan para peniaga Bumiputera dan Cina yang tidak mempunyai modal yang besar untuk bersaing dengan syarikat besar tersebut. Mereka juga, ujarnya lagi merungut tentang masalah itu sebab apabila syarikat besar yang mempunyai kepentingan dengan pihak pemerintah, maka sukar untuk mereka bersaing untuk mendapat tempat peniagaan terutama dalam bandaraya seperti Miri kerana harga kedai semakin tinggi dan sewa juga semakin meningkat terutama sekali dalam kawasan bandar. Jadi, tambah beliau jika perkara itu berterusan sudah pasti ada para peniaga kecil akan gulung tikar sebab sudah tidak mampu lagi bersaing dengan syarikat kroni yang mempunyai rangkaian dengan pihak yang berkuasa. “Inilah masanya rakyat perlu sedar sebelum semuanya terlambat sebab apa saja cadangan dan aduan yang dikemukakan oleh rakyat atau dari parti pembangkang jarang sekali mendapat perhatian oleh pihak pemerintah disebabkan mereka mempunyai kepentingan tertentu dan juga menjaga kepentingan kroni yang menguasai ekonomi mereka. “Inilah masanya penduduk Bandaraya Miri beri peluang kepada PAS dan PR untuk mengambil alih Miri dan juga Sarawak demi masa depan rakyat semua kaum tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” katanya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.