Selasa, 1 November 2011

AUKU: DAPSY alu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan, tempelak hipokrasi Pemuda MCA

Loke Siew Fook


DAPSY mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara. Keputusan ini adalah satu kemenangan moral kepada kebangkitan gerakan mahasiswa di Malaysia yang telah lama memperjuangkan pemansuhan AUKU. Empat pelajar UKM yang membawa kes mereka ke mahkamah sehingga terhasilnya keputusan ini perlu dipuji di atas keberanian dan semangat perjuangan mereka yang cukup tinggi.

DAPSY juga bersetuju dan menyokong saranan pertubuhan pelajar GAMIS yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan serta merta. Sememangnya AUKU perlu dimansuhkan seperti ISA dan mengembalikan autonomi dan kebebasan akademik kepada pihak universiti. AUKU telah lama mengongkong pemikiran mahasiswa tempatan dan melenyapkan budaya pemikiran kritis di kampus-kampus universiti awam.

Namun, hipokrasi politik Pemuda MCA cukup terserlah dalam kenyataan Ketua Pemudanya Wee Ka Siong yang mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini. Ka Siong mengatakan Pemuda MCA konsisten dalam pendirian mereka selama ini yang menuntut supaya Seksyen 15 AUKU dibatalkan. Saya ingin mengingatkan Ka Siong semasa Rang Undang-undang untuk meminda AUKU dibahaskan di Parlimen pada tahun 2008, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen MCA yang memperjuangkan supaya Seksyen 15 AUKU dibatalkan. Malah, cadangan-cadangan untuk meminda Seksyen 15 oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di peringkat Jawatankuasa juga ditentang oleh Ahli Parlimen BN termasuk MCA.

DAPSY akan terus memperjuangkan pemansuhan AUKU dan kami akan menyokong segala usaha yang dibawa oleh gerakan mahasiswa untuk menghapuskan AUKU. Malah, pemansuhan AUKU merupakan salah satu agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya kita mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU yang ke-13 nanti.

*Kenyataan media oleh Loke Siew Fook (gambar kanan) selaku Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Rasah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.