Isnin, 28 November 2011

Anak sokong JKPP Felda saman Isa Samad

Nazri Abdullah


AMPANG: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (gambar) menyokong penuh tindakan Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKKP) Felda untuk memfailkan saman ke atas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Mazlan berkata, tindakan tersebut wajar memandangkan Isa telah menghina para peneroka yang selama ini memerah keringat kepada Felda.

"Kita sangat dukacita dengan penghinaan Isa Samad terhadap peneroka Felda.

"Bagi anak ucapannya itu menghina seluruh warga Felda dan kita mintak dia tarik balik," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau mengulas pendirian JKPP dalam satu sidang media hari ini yang mahu menyaman Isa Samad jika pengerusi Felda itu tidak mahu memohon maaf secara terbuka dalam masa 14 hari.

Ianya ekoran kata-kata penghinaannya terhadap Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru, Shamsuddin Othman.

Penghinaan itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Melang Inn Kuala Pilah baru-baru ini.

Dalam ucapan itu Isa didakwa mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk kepala) dia".

Kenyataan itu didakwa dutujukan kepada Shamsuddin yang disebutnya dalam ucapan itu dengan nama "Pak Sam".

Bagaimanapun tindakan Isa itu dianggap menghina seluruh peneroka kerana Shamsuddin adalah ketua peneroka Felda kebangsaan yang mewakili seluruh peneroka.

"Kehadiran Isa Samad bermasalah seperti mahu berperang dengan warga Felda," kata Mazlan lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan, satu laporan polis akan dibuat terhadap Isa Samad pada Selasa ini di balai polis Central Johor Bahru berhubung perkara sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.