Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: “Adakah parti politik bersedia menerima kehadiran mahasiswa dan memberikan tempat yang sewajarnya apabila mereka dibenarkan berpolitik? "Atau mahasiswa hanya diberikan tugas sebagai tukang tampal poster sahaja?" soal Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (MPPUIA), Mohamad Iqbal Ab Wahab. Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang menghalang mahasiswa menyertai parti politik. Katanya, MPPUIA Sambil menyambut baik cadangan tersebut dan menggesa agar pindaan itu dibuat dengan segera dan serius. Menurutnya, Auku bukan hanya menyentuh kebebasan berpolitik, bahkan ia turut menyentuh kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, juga berkait dengan kematangan mahasiswa dalam meyuarakan pandangan dan pendapat dalam apa jua isu. Tambahnya, ia turut menuntut penglibatan mahasiwa dalam isu-isu negara memangkin kematangan berfikir dan membuat pilihan, antara baik dan buruk, aliran kiri atau kanan, mahasiswa matang untuk menapis pandangan serta melatih untuk tidak taksub dan syok dengan idea mereka sahaja tetapi mendidik untuk menjadi kreatif dan kritikal dalam menerima pandangan yang berbeza dengan mereka. Menurutnya lagi, Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen, harus positif dalam menerima dan mendengar kritikan anak muda sebagaimana mereka sedia untuk dipimpin generasi terdahulu. Selain itu, ujarnya isu universiti kekal sebagai badan independen atau parti politik akan masuk kampus atau mahasiswa akan bebas dan aktif berpolitik di luar, harus difahami dengan jelas. Di samping itu, beliau berkata isu berpolitik akan menyebabkan penguasaan akademik merosot, tidak seharusnya dibangkitkan dan mahasiswa bijak mengurus masa sebagaimana mereka juga digalakkan untuk aktif dalam aktiviti di luar kelas seperti kokurikulum dan kurikulum. Katanya lagi, kerajaan berhak untuk membawa kes UKM4 ke mahkamah persekutuan tetapi kewajaran untuk mengekalkan Seksyen 15 Auku, harus dipertimbangkan. Iqbal berkata, Auku digubal pada tahun 1971 rentetan Peristiwa 13 Mei dan gerakan anti-Tunku oleh gerakan mahasiswa yang pada waktu itu sangat kuat dan berpengaruh. Kemudian, katanya, Auku telah dipinda pada 1975 yang memfokuskan pada Seksyen 15 mengenai keterlibatan mahasiswa dengan parti politik rentetan peristiwa demonstrasi Baling 1974 serta keperluan kerajaan untuk meningkatkan sekatan mahasiswa sebagai ejen check and balance, terutama dlam mengekalkan kestabilan politik untuk mencapai sasaran DEB. Sehubungan itu, Iqbal mempersoalkan apakah akta yang digubal 40 tahun lalu, dengan sebab-sebab tertentu, masih relevan. "Ini bukan soal mahasiswa mahu atau tidak, bersedia atau tidak. Ini menyentuh hak kebebasan untuk berpolitik seperti yang termaktub dalam perlembagaan. "Bahkan keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan lepas jelas menyatakan seksyen 15 bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," tambahnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.