Harakahdaily |
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bimbang dengan peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) yang tidak terkawal dan gagal dikurangkan walaupun pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mendakwa telah melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkannya. Pengerusi Jawatankuasa Petap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Elizabeth Wong (gambar) berkata kegagalan Syabas menurunkan peratusan NRW ke tahap yang memuaskan membuktikan syarikat konsesi air itu gagal menjalankan penyelenggaraan paip-paip air dengan baik seperti yang dikehendaki dalam perjanjian penswastaan air antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi. “Jika Syabas tidak mampu mengurangkan NRW pada tahap yang memuaskan, ia akan memberi kesan langsung kepada bekalan air bersih untuk pengguna,” ujarnya dalam satu kenyataan. Menurutnya, mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syabas masih gagal mengurangkan kadar NRW kurang dari 30 peratus. Katanya, walaupun kadar NRW menurun pada kadar 32.38 % pada 2009 berbanding 38.43 % pada 2005, tetapi meningkat semula pada tahun lalu dan tahun ini malah SPAN meramalkan NRW terus meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020. Tambahnya, tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tidak mustahil krisis bekalan air bersih di Lembah Klang akan berlaku walaupun tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air mentah yang mencukupi dan adakalanya berlaku limpahan. “Laporan Pengkajian Penilaian Aset Air Negeri Selangor oleh Ranhill mendapati, dua loji rawatan air iaitu Kalumpang dan Sg Sireh memerlukan penambahbaikan yang besar manakala 18 lagi loji memerlukan penambahbaikan,” katanya. Ini, ujarnya menunjukkan pengendali loji-loji berkenaan, Puncak Niaga telah gagal melakukan usaha untuk menambahbaik loji-loji rawatan air ini bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan pengguna. Justeru, katanya tidak hairanlah jika loji-loji ini berfungsi di bawah kemampuannya sedangkan ia mampu menghasilkan air bersih yang mencukupi jika loji-loji itu dinaik taraf. Menurutnya lagi, menteri-menteri Kerajaan Pusat lebih ghairah bercakap mengenai keperluaan membina Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2, bagi menutup kelemahan dan ketidakmampuan syarikat konsesi ini yang ada hubung kait dengan Umno. Beliau menambah, Langat 2 yang dipertahankan kerajaan Pusat dan syarikat konsesi ini hanyalah loji yang membawa air mentah dari Pahang tetapi pembinaannya tidak akan mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih kepada pengguna. Katanya, isu yang patut diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat ialah menyegerakan pengambilalihan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri Selangor yang sengaja dilewat-lewatkan dan dibelenggu masalah-masalah yang tidak sepatutnya timbul. Beliau berkata, pengurusan air akan lebih terjamin, terurus dan profesional jika kerajaan negeri diberi mandat untuk ambil alih dari syarikat konsesi kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan berbanding keuntungan, tidak seperti syarikat konsesi yang mana keuntungan adalah segala-galanya. “Jika kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air, kita amat yakin NRW berjaya diturunkan hanya sekitar 10 peratus dan tidak akan berdepan masalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 10 peratus setiap tahun,” ujarnya yang juga Adun Bukit Lanjan. Katanya, kejadian paip bocor berhampiran Lapangan Terbang Subang baru-baru ini menjadi contoh kepada ketidakcekapan Syabas dalam menyelenggara paip-paip ini. Tambahnya, ia bukan saja mengundang kesengsaraan kepada pengguna jalan raya malah menyumbang kepada pembaziran air bersih sekali gus meningkatkan peratusan NRW. “Syarikat konsesi gagal mempelbagaikan teknologi rawatan air seperti rawatan air dalam kontena yang lebih mudah, cepat dan murah berbanding membina Langat 2. “Teknologi ini juga boleh digunakan untuk merawat air hujan sehingga bersih dan selamat untuk digunakan,” ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.