KUALA LUMPUR — PAS mahu isu pemurtadan ditangani dengan memantapkan akidah umat Islam sendiri seperti konsep ditunjukkan oleh al-Quran dan Rasulullah, bukan setakat mengadakan perhimpunan besar-besaran.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, pendekatan hujah dengan ilmu dan pelaksanaan syariat yang tegas dan adil serta menghukum penganut Islam dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan adalah kaedah lebih baik mencegah gejala murtad.
Beliau melahirkan pendirian ekoran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) pada Sabtu lalu di Stadium Shah Alam yang khusus membincangkan isu murtad.
Himpun yang dihadiri sekitar 5,000 orang meluluskan 10 usul antara lain menggesa kerajaan menggubal undang-undang khusus mencegah murtad.
PAS memutuskan untuk tidak hadir Himpun atas alasan ia bukan aktiviti parti politik.
“PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Rasulullah s.a.w. dengan cara memantapkan akidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna,” kata beliau dalam satu kenyataan dibawa Harakahdaily hari ini.
Bagi PAS menurut Hadi, pendekatan berhimpun tersebut ibarat “cuba menangkap segelintir pencuri yang ada bersama dalam himpunan tersebut.”
Selain itu, beliau mempersoalkan sama ada Himpun satu bantahan, “kepada siapa ianya dituju, dan apakah kesannya.”
“Satu himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia.
“Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil?” soal beliau.
Kata Hadi, PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama di kalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan “pencuri! pencuri!” “Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang,” kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.