Sabtu, 29 Oktober 2011

MPSP: Gaji permulaan RM1,200, kontraktor perlu guna 70 peratus pekerja lokal

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memperkenalkan dasar baru bagi membela kebajikan pekerja mulai tahun depan dengan gaji permulaan RM1,200 dan mewajibkan kontraktor pembersihan menggunakan minimum 70 peratus tenaga kerja tempatan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, ahli majlis MPSP Steven Sim berkata, pelaksanaan dasar itu akan merangkumi rombakan semula kontrak pembersihan pihak berkuasa tempatan.

“Pada masa kini, pekerja paling rendah dalam MPSP adalah dalam kategori pekerja awam bergred R1. Gaji permulaan mereka kira-kira RM1,200 termasuk elaun tetap bulanan.

“Pekerja dalam kategori ini adalah umumnya pekerja pembersihan. Bagi membela nasib mereka, Kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah mengumumkan elaun khas bulanan RM150 kepada pekerja-pekerja pasukan 3D - mereka yang melakukan pekerjaan bahaya, kotor dan sukar,” kata kenyataan itu.

Katanya, ia termasuklah pekerja pembersihan am yang digaji oleh MPSP dan oleh itu, pampasan total para pekerja gred paling rendah di majlis tersebut adalah sekurang-kurangnya RM1,350 sebulan.

Selain itu katanya, MPSP kini mempunyai lebih kurang 2,000 pekerja pembersihan yang digaji di bawah kontraktor-kontraktor pembersihan swasta.

“Kajian ringkas menunjukkan bahawa pekerja-pekerja ini bergaji antara RM600 hingga RM750 sebulan dan kebergantungan terhadap pekerja asing amat tinggi iaitu kira-kira 75 hingga 80 peratus merupakan warga asing,” tambah kenyataan itu.

Justeru, katanya, MPSP telah mewajibkan kontraktor-kontraktor pembersihan swasta mengambil sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja tempatan.

“Gaji pokok pekerja ini pula perlu sekurang-kurangnya RM800, tidak termasuk elaun yang berhak diterima. Jika dikira elaun, gaji bulanan pekerja-pekerja tersebut mungkin mencecah RM1,000-RM1,100,” katanya lagi.

Dengan itu kata kenyataan itu, MPSP akan mewujudkan lebih kurang 1,500 peluang pekerjaan kepada warga negara Malaysia dengan kadar gaji antara RM800-RM1,100 sebulan.

“Ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja migran tidak mahir dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembersihan, malah selaras dengan dasar propekerja kerajaan negeri untuk mendukung masyarakat setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang di masa keadaan pasaran kerja yang tidak memberangsangkan.

“Dengan adanya pekerjaaan-pekerjaan bergaji sederhana ini, maka masyarakat golongan terbawah sedikit sebanyak dilindungi daripada angin kencang krisis ekonomi global,” kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.