Ahad, 30 Oktober 2011

Koh nafi akan cabar Guan Eng dalam PRU

MALAYSIA KINI

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini menafikan bahawa beliau ada ditemu bual oleh blogger yang memuatkan artikel dalam sebuah laman blog yang menyebut bahawa beliau bersedia mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng pada pilihan raya umum akan datang.

Sambil menepis laporan itu Koh menyifatkan penulis blog sebagai golongan yang suka menulis apa sahaja walaupun ia tidak benar.

Beliau berkata penulis blog menulis apa sahaja yang dikehendaki dan ada juga blog-blog lain yang menulis pelbagai perkara mengenai dirinya.

"Saya tidak akan memberikan komen berdasarkan hanya satu penulisan di blog, mereka boleh kata apa sahaja yang mereka mahu...ada juga beberapa blog yang menulis pelbagai perkara lain berkaitan diri saya.

"Setiausaha Akhbar saya sudah pun menafikannya, saya tidak pernah ditemu bual oleh mana-mana blogger... jadi bagaimana mereka boleh menyebut saya yang bercakap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di Menara PGRM di Cheras dekat Kuala Lumpur hari ini.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas tulisan dalam blog PapaGomo yang menyebut bahawa beliau bersedia mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di mana-mana kawasan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Dalam entri bertajuk 'Koh Tsu Koon Cabar Lim Guan Eng Satu Lawan Satu' itu, Koh dipetik sebagai berkata "Saya secara peribadi berhasrat bertanding menentang Lim Guang Eng tidak kira di mana kerusi yang beliau akan tandingi di Pulau Pinang.

Menurut entri di blog itu lagi, Koh didakwa sudah pun menyampaikan hasratnya bertanding pada PRU ke-13 itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan juga kepada seluruh kepimpinan Gerakan.

Kira-kira 3,000 orang hadir pada rumah terbuka di ibu pejabat itu yang turut dihadiri Naib Presiden Gerakan A Kohillan Pillay.-- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.