GOMBAK: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan tidak bersetuju dengan pandangan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengaitkan dewan itu dengan 'Taliban' ekoran membantah konsert rock melibatkan penyanyi gay, Elton John.
Menyifatkan pandangan bekas mufti Perlis itu sebagai "belum mengenali pemuda PAS", beliau juga berkata kenyataan Dr Asri itu juga boleh memberi tanggapan salah masyarakat terhadap sayap PAS itu.
"Mengganggap pemuda PAS diresapi unsur Taliban adalah anggapan keterlaluan dan boleh memberi gambaran salah kepada masyarakat. Bukan baru kita nyatakan bantahan terhadap konsert sebegini.
"Bantahan kita bukan sekat orang, halang orang, ganggu orang. Kita hanya lahirkan rasa tidak bersetuju dengan konsert tersebut sebagai panduan kepada pemuda Islam lain," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan penutup Ijtimak Tarbawi 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini hari ini.
Jawapan tersebut dinyatakan beliau sebagai respon terhadap pandangan Dr Asri yang menegur bantahan Dewan Pemuda PAS Pahang terhadap konsert tersebut atas alasan penyanyi gay itu menggalakkan maksiat.
Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Asri berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya.
Beliau turut menasihatkan parti Islam itu "jangan tiru Taliban", sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.
Mengulas lanjut Nasruddin berkata, PAS tidak pernah menggunakan pendekatan kekerasan dalam dakwah mereka apatah lagi pendekatan ala Taliban.
Sebaliknya lebih kepada pendekatan lunak iaitu turun ke padang mendekati anak muda dengan menyebarkan risalah kesedaran agar menolak sebarang aktiviti yang melalaikan dan maksiat.
"Memang kita bantah itu tujuannya agar orang Islam tidak pergi ke konsert tersebut.
"Sebab itu saya cadang beliau (Dr Asri) ambik masa turun ke medan sekali dengan pemuda PAS, jumpa anak muda. Jangan hanya bercakap dari dalam bilik berhawa dingin," katanya.
Tunjuk di mana salah
Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut menyentuh teguran Dr Asri itu dan meminta bekas mufti itu membuktikan dimana salah bantahan mereka terhadap konsert penyanyi yang terkenal sebagai ikon Gay di barat itu.
Katanya, jika sekalipun pendekatan mereka 'dilihat salah' oleh Dr Asri, namun tindakan tersebut dibuat atas perinsip asas mencegah kemungkaran yang diwajibkan oleh Islam.
"Kalau tak setuju dengan pendekatan kita, kita terbuka menerima cadangan pendekatan lain dari beliau (Dr Asri)...pendekatan ini perkara ijtihad.
"Pemuda tegas dengan perinsip mempertahankan Islam...kita bertindak atas dasar mencegah kemungkaran," katanya.
Sebelum ini Dewan Pemuda PAS Pahang menyatakan bantahan terhadap konsert Greatest Hits Tour itu yang menampilkan artis gay, Elton John yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 22 November depan kerana dianggap tidak sesuai dengan budaya negara ini.
Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz, berkata walaupun mungkin penyanyi yang berkahwin sesama lelaki itu datang sekadar menghiburkan peminatnya, tetapi bimbang ikon muzik dunia itu akan menjadi ikutan negatif kepada generasi muda.
Beliau mahu pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam Pahang, Kerajaan Negeri Pahang serta Majlis Daerah Bentong mengambil tindakan agar ianya dibatalkan.
Elton yang terkenal dengan lagu hits seperti Candle In The Wind, Rocket Man, Levon dan Your Son" telah mendirikan rumah tangga dengan rakan homeseksualnya David Furnish pada 21 Disember 2005, selepas kerajaan Britain membenarkan perkahwinan sejenis.
Anak mereka, Zachary Jackson Levon John, dilahirkan melalui ibu tumpang pada 25 Disember 2010 di California. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.