Isnin, 31 Oktober 2011

Awasi pihak promosi gaya hidup gay

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Pahang menuntut kerajaan negeri memberikan perhatian yang serius terhadap bantahan orang ramai tanpa mengira parti atau pertubuhan terhadap konsert artis antarabangsa, Elton John yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Genting Highlands.

Yang Dipertuanya, Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, ini kerana ianya akan memberi kesan kepada sosio budaya masyarakat setempat terutama remaja melayu Muslim.

Katanya, seseorang yang telah menjadi ikon kepada golongan gay atau homoseksual yang sememangnya bertentangan dengan Islam dan nilai murni masyarakat bertamadun tidak harus dibenarkan untuk membuat pertunjukan konsert di negara ini kerana ianya akan menjadi ikutan atau idola kepada remaja yang kini dilaporkan menghadapi krisis kecelaruan identiti yang membimbangkan.

Tambahnya, gesaan tersebut dibuat kepada kerajaan negeri kerana konsert tersebut akan diadakan di Genting Highlands yang berada dalam negeri Pahang yang sudah pasti pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa wewenang untuk menghalanginya daripada berlaku.

“Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya bimbang kepada kebebasan bukan Muslim kerana majoriti bukan Muslim yang berpegang kepada agama dan nilai murni manusia bertamadun juga tidak akan suka muda mudi mereka terpengaruh dengan cara hidup gay dan mereka hidup dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama negara, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kebebasan beragama kepada yang bukan Islam dalam perlembagaan adalah berkaitan dengan upacara atau amalan agama bukan Islam tetapi bukan cara hidup songsang yang mengenepikan semua nilai agama.

Beliau berkata, Isma Pahang menuntut supaya konsert tersebut dinilai semula dan diambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berulang sebanyak dua kali yang mana kali pertama diadakan oleh artis antarabangsa Adam Lambert pada tahun lepas.

“Konsert yang dirancang daripada kumpulan artis gay ini menunjukkan seolah-olah ada pihak tertentu ingin membuat promosi gaya hidup songsang (gay) mereka ke negara Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.