SEMAK....Semak samun di taman ini tidak dibersihkan oleh MPS sejak empat bulan menjadi sarang maksiat.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
TAMAN Chong Thien Vun yang terletak di puncak Bukit Bendera (Trig Hill) yang merupakan taman peranginan yang terindah di daerah Sandakan kerana dikelilingi oleh pokok-pokok subur nan menghijau; dielus lembut puputan bayu yang cukup nyaman telah terbiar begitu saja tanpa diselenggara.
Taman yang sebelum ini menjadi tempat bersantai dan riadah saban kini tidak lagi dikunjungi ramai pengunjung kerana kurang selesa disebabkan semak samun tumbuh meliar tanpa diselenggara oleh Majlis Perbandaran Sandakan.
Dalam tinjauan Sabahkini.net ke taman tersebut kelmarin, mendapati kawasan tersebut memang agak menyeram dan menakutkan disebabkan rumput panjang yang tidak dipotong, mungkin dihuni oleh haiwan berbisa seperti ular tedung.
Seorang pekerja Restoran Trig Hill yang berhampiran dengan taman tersebut, Roslan memberitahu Sabahkini.Net, kini sudah hampir empat bulan tidak kelihatan pekerja-pekerja MPS memotong rumput di kawasan sekeliling taman berkenaan.
Kata Roslan, sejak kebelakangan ini ada dua tiga orang pengunjung yang bersantai di pondok yang sedia ada di taman tersebut mengadu pernah terserempak seekor ular hitam panjangnya lebih kurang 6 kaki sedang merayap melintasi tangga simen tersebut.
“Alangkah berbahayanya jika ada pengunjung yang tidak menyedari bahawa kawasan taman yang semak itu telah dihuni oleh ular-ular berisa lantas mematuk mereka. Dalam hal ini siapa yang harus bertanggungjawab dan siapa yang harus dipersalahkan nanti jika terjadi perkara buruk seumpama itu berlaku kepada para pengunjung?” Tanya Roslan.
Namun keadaan semak samun ini, kata Roslan, dimanipulasi oleh remaja, terutama sekali pelajar sekolah yang menggunakan semak samun sebagai ‘bilik atau ranjang’ memadu kasih selepas pulang dari sekolah dan berpeleseran di taman ini.
“Jika dilihat dari jauh memang semak, tetapi jika dilihat dari menara pemerhati, banyak lokasi dipenuhi kertas surat khabar dan papan lapis yang digunakan untuk melakukan hubungan seks bebas dengan pasangan masing-masing,” kata Roslan yang memaklumkan belukar berkenaan akan mempunyai ‘penghuni’ sekitar jam 1.30 petang hingga jam 3.00 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.