Jumaat, 30 September 2011

Perwakilan MCA berkemungkinan sahkan pendirian tiada jawatan dalam kerajaan



KUALA LUMPUR - Anggota perwakilan MCA yang menghadiri perhimpunan agung tahunan parti itu hujung minggu ini berkemungkinan mengesahkan pendirian pucuk pimpinan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika parti itu menerima keputusan lebih buruk dalam pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata pendirian parti itu adalah satu daripada beberapa resolusi Perhimpunan Agung MCA ke-58, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 2 Okt.

"CC (Jawatankuasa Pusat) telah pun mengesahkannya. Sekarang, kami hanya mahu keputusan itu turut disahkan anggota perwakilan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seramai 2,360 anggota perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung kali ini.

Sebelum ini, Majlis Presiden MCA dan CC menyokong cadangan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa parti itu akan menyerahkan jawatan dalam kerajaan jika masyarakat Cina tidak memberi mandat kepada calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Chua berkata keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan yang mendalam parti itu sebagai menghormati pilihan pengundi, terutamanya masyarakat Cina.

Parti itu dilaporkan akan menjadikan keputusan pilihan raya umum 2008 sebagai garis asas untuk memastikan sama ada untuk menolak sebarang jawatan dalam kerajaan yang ditawarkan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum ke-12, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu

Kong berkata perhimpunan itu juga bakal meluluskan resolusi menyokong Pelan Transformasi Kerajaan serta beberapa agenda transformasi dan gagasan IMalaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.

"Perwakilan juga dijangka membahaskan isu pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan oleh PAS, juga kegagalan pemimpin parti pakatan PKR-DAP-PAS mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan hukum hudud dan arahan tutup mulut kepada pemimpin mereka," katanya.

Selain itu, perwakilan juga dijangka meneruskan desakan meminta kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan usaha-usaha lain dalam pendidikan.

UEC ialah peperiksaan standard yang dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina.

"Kami juga akan menyentuh aspek sosial seperti kejayaan kerajaan mengurangkan jenayah jalanan. Kami berpendapat usaha itu perlu disokong dan terus dilaksanakan.

Selain itu, katanya tumpuan pastinya terhadap ucapan dan nasihat Dr Chua sebagai Presiden bagi parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Para pemimpin parti dan anggota perwakilan pastinya juga ingin mendengar mesej Perdana Menteri kepada parti komponen kedua terbesar BN memandangkan kedudukan parti ini semakin pulih dan berkedudukan baik untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Kong.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.