Ahli-ahli panel yang bijaksana, saudara-saudari sekalian yang dihormati.
Saya merasa gembira kerana dapat melibatkan diri dalam wacana yang penting ini dalam usaha kita untuk membina Malaysia yang baru berpaksikan nilai-nilai demokrasi dan kebebasan.
Tahniah kepada saudara Khalid Jaafar dan IKD yang telah memulakan inisiatif ini untuk push the boundary of the discussion. Saya yakin wacana yang berterusan akan mewujudkan kesedaran awam bahawa ISA dan undang-undang draconian yang lain seperti Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan sahaja tidak relevan tetapi adalah ejen pembunuh demokrasi dalam negara.
Tema wacana ini amat menarik tetapi situasi hari ini belum lagi menepati tema berkenaan. Walaupun, Perdana Menteri Najib telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan ISA, namun rakyat hari ini mencabar kredibiliti beliau dan pentadbiran BN di Putrajaya; apakah ada political will untuk melaksanakan reformasi politik atau hanya sekadar istilah muluk-muluk sebagai halwa telinga tanpa pengisian dalam konteks perlaksanaan.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
Pengumuman Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Malaysia disusuli dengan suatu gerakan propaganda melampau untuk mewujudkan euphoria supaya rakyat berterima kasih kepada Najib dan UMNO. Namun kita harus sedar bahawa kebebasan adalah milik mutlak rakyat yang merdeka dan bukan pemberian oleh pemerintah.
Kita tidak berterima kasih kepada Inggeris kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun hari ini ada teori baru yang mendakwa Malaysia tidak pernah dijajah. Apakah penjajah Inggeris akan memberikan kemerdekaan jikalau rakyat tidak menuntutnya, memperjuangkannya hatta dengan mengangkat senjata?
Rakyat India tidak berterima kasih apa lagi memberikan tahniah kepada Lord Mounbatten. Wira kemerdekaan mereka seperti Gandhi, Jawarharlal Nehru, Maulana Abdul Kalam Azad, telah mencetuskan kesedaran dan menggembleng kekuatan rakyat untuk menentang dan membebaskan India daripada penjajahan British.
Dalam sejarah perjuangan rakyat Malaysia, atas prinsip yang sama, kita tidak berterima kasih kepada British kerana menurunkan Union Jack pada 31 Ogos 1957. Terima kasih dan rasa hormat kita adalah kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.
Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah perjuangan rakyat pelbagai kaum dari pelbagai faham politik, cara perundingan termasuk kaedah radikal. Semua pihak ini mempunyai peranan masing-masing dan sumbangan mereka tidak boleh dipadamkan dari sejarah. Kita juga harus mengiktiraf tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar al-Bashir - Gunung Semanggol, Tun Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan termasuk juga Mat Indera.
Kemerdekaan tidak selesai dengan hanya diturunkan Union Jack dan berkibarnya jalur gemilang. Kemerdekaan harus dimaknai dengan pengisian yang menjamin sebuah Negara yang demokratik, bebas dan berkeadilan. Kita merdeka pada 31 Ogos 1957 tetapi Undang-Undang Darurat yang dilaksanakan oleh penjajah British masih diwarisi Perikatan dan kemudiannya UMNO dan Barisan Nasional. Undang-Undang Darurat ini telah melahirkan beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan atas nama keselamatan Negara termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang membenarkan tahanan tanpa bicara. Ketika Tun Razak membentangkan pindaan perlembagaan pada 20 April 1960, beliau menegaskan, "Mana-mana negara yang diancam oleh komunis harus mengekalkan satu-satunya cara untuk menghadapi ancaman tersebut, iaitu dengan menahan komunis dan agen-agen mereka, maka ia boleh menghalang daripada berlangsungnya perancangan yang memudaratkan".
Malangnya, rekod membuktikan bahawa hampir keseluruhan tahanan ISA adalah di kalangan pimpinan politik yang mempunyai pendirian berbeza dengan pimpinan UMNO. Istilah seperti "komunis", "anasir anti-nasional" atau "subversif" sentiasa dijadikan alasan untuk membatasi kebebasan politik rakyat.
Ketika Anwar Ibrahim ditahan pada tahun 1974, antara alasan yang digunakan ialah beliau merupakan agen komunis. Namun beberapa tahun kemudian beliau diangkat pula sebagai anggota kabinet kerajaan.
Rejim UMNO dan Barisan Nasional tuntas menggunakan undang-undang ini untuk membungkam saingan politik seperti Dr. Burhanudin al-Helmy, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Syed Husin Ali. Apabila berlaku konflik dan perebutan kuasa dalam UMNO, ISA juga digunakan. Abdul Aziz Ishak, Menteri Pertanian pertama dan musuh ketat Tunku Abdul Rahman turut ditahan di bawah ISA. Hal yang sama juga berlaku ke atas beberapa orang Timbalan Menteri seperti Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid. Wartawan veteran, Allahyarham A. Samad Ismail juga adalah antara mangsa-mangsa ISA.
Justeru perjuangan untuk mencapai kebebasan rakyat berterusan selepas merdeka dan generasi hari ini harus mengiktiraf dan menghargai mereka yang berdekad-dekad memperjuangkan kebebasan. Kebebasan adalah hak rakyat sebagai seorang warganegara yang merdeka dan hak ini tidak boleh dirampas dan diperdagangkan oleh pemerintah. Oleh kerana itu, kita harus berpegang kepada amalan demokrasi yang menjamin bahawa setiap hak rakyat harus dihormati dan dipertahankan.
Hal ini adalah sebagaimana yang diungkapkan oleh Reinhold Niebuhr bahawa : "Man's capacity for justice makes democracy possible; but man's inclination to injustice makes democracy necessary". (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadikan demokrasi itu satu kewajiban). Hanya demokrasi yang akan menjamin keadilan dan kebebasan terhadap rakyat sesebuah negara.
Rakyat Malaysia yang memahami dan menghayati nilai-nilai demokrasi yang tulen pasti akan meragui kenyataan Perdana Menteri yang mencadangkan bahawa perlu ada dua undang-undang baru di bawah semangat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Dakwaan Najib, dalam sesebuah demokrasi moden perlu ada perseimbangan serta perimbangan antara keutamaan keselamatan nasional atau kebebasan individu.
Saya berpendapat, demokrasi itu tidak membawa makna sekiranya kebebasan dan hak seseorang rakyat itu dirampas dan dinafikan, meskipun atas nama keselamatan nasional. Keselamatan nasional amat penting. Keselamatan nasional dalam pengertian yang sebenar termasuklah melindungi hak dan kebebasan individu sesebuah negara. Apa makna keselamatan nasional sekiranya pejuang-pejuang kebebasan dan keadilan, samada ahli politik atau tokoh-tokoh NGO, tidak selamat dari rejim pemerintah?
Bagi UMNO-BN, kebebasan dan keselamatan adalah dua matlamat yang bertentangan. Itu adalah fahaman kuno yang telah disanggah kuat oleh Amartya Sen dalam bukunya Development as Freedom. Pakatan Rakyat berpendirian, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan bergerak tidak bertentangan dengan keselamatan nasional. Jika kita punya pasukan keselamatan yang profesional, terlatih, cekap, dan tidak menjadi instrumen kepada parti politik, saya yakin mereka bukan sahaja mampu menjamin keselamatan nasional tetapi mereka juga akan menjadi pelindung kepada hak dan kebebasan rakyat.
Antara asas mengapa kita menentang penggunaan ISA adalah kerana ia membenarkan tahanan tanpa bicara. Penahanan tanpa bicara sama sekali bertentangan dengan prinsip rule of law. Konsep asas perundangan menyatakan bahawa "a person is presumed innocent unless proven guilty" (Seseorang itu tidak dianggap bersalah selain telah dibuktikan bersalah). Kerana itu, adalah zalim sekiranya kita membiarkan seseorang terus ditahan tanpa dibuktikan kesalahannya.
Kewibawaan Najib terjejas ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyebut bahawa tahanan tanpa bicara tetap akan diteruskan. Justeru tidak hairanlah
rakyat tidak yakin bahawa reformasi politik ini akan terlaksana. Tahanan tanpa bicara ini sudah tentunya bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Pemasyhuran Kemerdekaan. Kedua-dua dokumen ini boleh menjadi "basic structure" demi menjamin hak asasi rakyat Malaysia. Ini adalah sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah atau matlamat Tinggi Syariah. Inti kepada Maqasid Syariah adalah untuk menjamin karamah insaniah atau kemulian darjat insan yang berteraskan hak dan kebebasannya. Makanya manusia itu mulia dan punya darjat. Oleh itu, dia tidak boleh dihumban ke dalam penjara tanpa di bicarakan.
Ulamak muktabar merumuskan lima asas Maqasid Syariah, iaitu mempertahankan agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah, juga harta benda. Kita ambil maruah sebagai contoh.
Sejak tahun 1998, dan tiga pilihan raya umumyang lalu, rejim UMNO-BN berterusan memfitnah dan merobek maruah Anwar Ibrahim. Tidak ada pemimpin dalam sejarah Malaysia, dan dalam sejarah dunia moden yang maruahnya diaibkan sebegitu rupa. Maka Najib jangan bercakap tentang Maqasid Syariah selagi fitnah terhadap Anwar Ibrahim terus dilancarkan oleh media di bawah kawalan beliau. Jangan jadikan Maqasid Syariah sebagai tempelan untuk mengaburi mata rakyat dari realiti kebejatan yang ada.
Malaysia dan rakyatnya tidak memerlukan retorika politik yang sebegitu rupa. Kita perlukan substantive reform, reformasi bermakna. Reformasi bermakna bermula dari kesedaran dan kefahaman. Pakatan Rakyat dengan kerjasama NGO dengan tuntas melaksanakan kempen untuk memberikan pendidikan dan pencerahan kepada rakyat tentang makna kebebasan, demokrasi dan hak asasi ini.
Jelas sekali, pimpinan UMNO dan BN memerlukan pendidikan dan kefahaman tentang falsafah dan nilai-nilai murni yang mendasari demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia.
Najib perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah Jerman dan apa yang dilakukan oleh Konrad Adenauer, Canselor Jerman pasca Perang Dunia Kedua. Apabila Hitler berkuasa beliau menghakis segala nilai-nilai yang mendasari demokrasi dan merobohkan institusi-institusi demokrasi. Masyarakat Jerman di bawah pemerintahan Nazi melakukan pelbagai kezaliman dan pemerkosaan hak asasi manusia. Nilai-nilai kebebasan dan hak asasi manusia yang mendasari demokrasi dan rule of law terpadam dari ingatan rakyat Jerman. Apabila Jerman tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Konrad Adenauer ingin membangun semula Jerman sebagai sebuah negara demokrasi, beliau melancarkan program besar-besaran untuk mendidik rakyat Jerman tentang nilai-nilai demokrasi, rule of law dan hak asasi manusia. Dan Konrad Adenauer menggunakan parti-parti politik sebagai ejen utama untuk melaksanakan program tersebut melalui penubuhan pelbagai yayasan parti politik.
Najib tidak boleh mendabik dada kononnya ini adalah politik pasca-ISA. Pemerintah harus faham bahawa hak dan kebebasan asasi manusia yang dikurniakan oleh tuhan dan bukan milik pemerintah.
Rakyat sendiri tahu kebebasan itu perlu hadir dengan tanggungjawab. Justeru, apabila kita mengambil inisiatif untuk memperkasa masyarakat tentang asas-asas hak asasi, kebebasan dan juga keadilan, kita juga perlu menegaskan keperluan tanggungjawab. Hal ini turut dijelaskan oleh Eleanor Roosevelt yang menyatakan bahawa: "Freedom makes a huge requirement of every human being. With freedom comes responsibility". Saya nukilkan pandangan Eleanor Roosevelt kerana beliau adalah tokoh yang mempengerusi dan memimpin jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang yang menggubal dan meluluskan Universal Declarations of Human Rights.
Dalam soal hak asasi manusia, saya berpendapat bahawa kita harus mempunyai suatu konsensus jelas terhadap nilai-nilai yang bersifat sejagat ini. Kita perlu tegas dan jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang menindas dan mencabuli hak masyarakat. Perkara ini adalah di luar batas kaum, agama, mahupun sempadan Negara. Kerana itu, kerajaan juga harus mengkaji dan melakukan penilaian semula kepada beberapa deklarasi antarabangsa yang sehingga kini masih belum ditandatangani oleh Negara kita.
Saya ingin mengimbau kegetiran hidup yang dilalui oleh Nelson Mandela. Beliau dipenjarakan selama 26 tahun di bawah undang-undang Apartheid. Tetapi demi untuk menghapuskan Apartheid, beliau sanggup duduk semeja dan berunding dengan musuh ketatnya Frederik Wilhem de Clerk, ketua kepada rejim yang memenjarakan beliau. Mengambil inspirasi tersebut, Pakatan Rakyat bersedia berbincang dengan Perdana Menteri untuk merangka secara teratur dan bertanggungjawab kaedah dan perlaksanaan penghapusan ISA dan segala undang-undang draconian di Malaysia.
Kita bersedia melakukan constructive engagement dengan Barisan Nasional demi untuk mengembalikan segala hak dan kebebasan rakyat yang selama ini dinodai.
Saya akhiri rumusan saya pada malam ini dengan firman Allah s.w.t :"Hendaklah kamu melakukan Keadilan, kerana Keadilan itu lebih dekat kepada taqwa" (Surah Al Maidah: 8)
Sekian, terima kasih.
*Teks ucapan Azmin Ali (gambar kiri), ahli parlimen Gombak, ADUN Bukit Antarabangsa merangkap Timbalan Presiden PKR dalam Forum Politik Malaysia Pasca ISA, pada 27 September 2011, di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.