KOTA DAMANSARA : Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Hassan Ahmad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kota Damansara pagi ini.
Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Kampung Tunku Petaling Jaya sebelum selamat dikebumikan di sini kira-kira jam 11 pagi ini.
Hassan, 74 tahun meninggal dunia eslepas mengadu sakit perut di kediamannya di Petaling Jaya kira-kira jam 2 petang semalam.
Hassan meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan Aida dan Hasmirawati.
Majlis Pengebumian beliau dihadiri oleh tokoh sastera dan seni tersohor tanah air seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Seniman Che Shamsuddin Othman atau Dinsman dan beberapa yang lain termasuk ahli politik dari Pakatan Rakyat.
A. Samad melahirkan melahirkan kesedihan dan menyatakan akan merancang meneruskan legasi Allahyarham terutamanya dalam memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus terbela.
"Kehilangan Datuk Hassan sangat memilukan kerana sehingga sekarang apa yang diperjuangkan selama ini masih belum begitu beres sebenarnya.
"Satu hal yang penting ialah Datuk Hassan ini, suaranya agak berat dan apa yang dicakapkannya itu mempunyai isi dan visi. Jadi kami akan mengulangi semula apa yang dilakukannya dan antara kawan-kawan yang faham, kita akan melihat di mana kita harus menyambungkannya (perjuangan)," kata beliau.
Hassan yang berkhidmat selama 13 tahun di DBP bermula sebagai Pegawai Penyelidik pada 1963 sebelum menjadi Ketua Pengarah.
Beliau dikenali sebagai tokoh berpengalaman luas dalam aspek berkaitan bahasa dan sastera turut dilantik sebagai wakil tetap negara ke UNESCO serta Ketua Eksekutif Karyawan selepas meninggalkan DBP.
Bagaimanapun beliau mengejutkan pelbagai pihak apabila mengetuai NGO Gerakan Mansuhkan PPSMI pada 2009 dalam menentang keputusan Kerajaan Persekutuan menolak Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran subjek Sains dan Matematik di Sekolah.
Pada peristiwa bersejarah 7 Mac 2009 itu, beliau bersama kira-kira 8 ribu pejuang bahasa lain mendapat 'layanan' lazim daripada kerajaan dan polis denga dihujani puluhan gas pemedih mata serta dihalang dari berarak untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara
Seniman Dinsman pula menyatakan GMP dan negara kehilangan pemimpin berjasa besar dan berstatus unik dalam memperjuangkan serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.
"Selepas Datuk Hassan siapa akan ganti jadi pengerusi GMP? Itu saya fikir, sebab orang yang berkelayakan seperti Datuk Hassan susah nak dicari ganti sebab dia ada ciri-ciri yang tiada pada orang lain," tegasnya.
"Dia (Datuk Hassan) boleh diterima oleh orang sebelah sini dan sebelah sana. Dia baik dengan Muhyiddin, Tengku Razaleigh dan juga pemimpin Pakatan Rakyat. Beliau diterima kedua-dua pihak," tambah Dinsman.
Setiausaha GMP Hasni Abas pula menyatakan Datuk Hassan terlibat dalam gerakan mendaulatkan bahasa kebangsaan sejak zaman mahasiswa lagi dan dikenali sebagai seorang yang amat berani terutama dalam himpunan 'Keranda 152' pada 3 Mac 1967 sewaktu bertugas di DBP sendiri dalam membidas kerajaan Malaysia kerana tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.
"Ketika itu dan sampai sekarang beliau masih berpegang untuk mendaulatkan Bahasa Melayu di negara ini. Bagi saya nak mencari orang mengganti memang susahlah cuma kita harap semangat dia dapat diwarisi generasi sekarang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.