Harakahdaily
|
KUALA LUMPUR: “Marilah bersama-sama kita mengubah apa yang berlaku sekarang supaya kita dapat menghayati suasana ‘raya’ dengan lebih bermakna lagi. “Rayakan rakyat dengan membuat perubahan di dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang,” kata Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS), Mohd Firdaus Jaafar. Beliau berkata, sambutlah tetamu yang berkunjung bukan sekadar dengan juadah tapi juga dengan maklumat terkini dan isu-isu yang tidak dimainkan di media arus perdana. Tambahnya, jadikan minda rakyat bebas daripada penipuan Umno BN, juga ‘rayakan’ rakyat dengan menolak kebatilan. Beliau juga mengajak umat Islam bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada semua sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga dapat mengisinya dengan agenda-agenda yang membawa kepada ketaqwaan yang sejati. “Setelah kita berjaya menyempurnakan latihan Ramadhan selama sebulan, dan kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebagai satu tanda kesyukuran kita terhadap nikmat-nikmat Allah SWT,” ujarnya dalam perutusan Idulfitri 1432H yang disambut hari ini. Katanya, Ramadhan diharap dapat membentuk diri mengenali sifat kehambaan kepada Allah SWT dengan lebih mendalam supaya selepas ini akan senantiasa mematuhi setiap suruhan-Nya. Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, dengan latihan ubudiyah selama sebulan insya Allah telah dapat memenuhi KPI berpuasa iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT. Bagi mereka yang akan pulang ke kampung, LaPAS ingin menasihati agar sentiasa berhati-hati ketika memandu. Katanya, banyakkan bersabar memandangkan jumlah kenderaan yang banyak dan keadaan jalan raya yang sesak sudah pastinya menimbulkan suasana yang tidak selesa namun sekiranya patuh pada undang-undang yang ada, sekurang-kurangnya dapat melancarkan perjalanan. LaPAS juga, ujarnya ingin berpesan kepada semua pengguna agar lebih bijak dalam berbelanja bagi menghadapi musim raya. Serunya, gunakanlah sepenuhnya hak sebagai pengguna supaya tidak diambil kesempatan oleh para peniaga dengan sewenang-wenangnya. “Berhemahlah dalam berbelanja kerana umumnya pasti mengetahui bahawa janji ‘pak menteri’ yang harga barang tidak akan naik menjelang musim perayaan hanyalah ‘omong kosong’ demi untuk ‘menyelerakan’ halwa telinga rakyat yang mana pada hakikatnya sudah pasti berlaku kenaikan harga barang yang mendadak dek kerana kelemahan kerajaan yang ada,” ujarnya. Dan yang pastinya, kata beliau alasan serupa yang akan di’recycle’ oleh pihak berkuasa ialah kerajaan tidak mampu mengawal kenaikan harga. Oleh itu, ujarnya lagi LaPAS menyeru kepada semua agar sesuatu dapat dilakukan untuk mengubah kembali suasana yang ada kepada yang lebih baik lagi. Menurutnya, Malaysia sebuah negara yang kaya dengan hasil mahsul namun dek kerana dimonopoli oleh hanya segelintir golongan, maka natijah kenaikan harga barang yang cukup membebankan rakyat tidak dapat dielakkan. Katanya, dan yang paling menyedihkan lagi apabila yang terpaksa menanggung kesannya adalah rakyat marhaen. “Sebulan kita membina keimanan, Ramadhan menjadi pembersih hati umat Islam. Selamat Hari Raya Idul Fitri 1432H. Maaf zahir dan batin,” ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.