Pembaharuan ekonomi dan model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak gagal diterjemahkan dengan tindakan dan ia umpama “tin kosong”, kata pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakob.
Kegagalan ini katanya, disebabkan Najib tidak mempunyai kekuatan me laksanakan reformasi ekonomi yang dijanjikan.
Ini kerana “pangkalan kuasa” Najib hari ini berpusat hanya kepada kaum Melayu sahaja, kerana BN pada hari ini tidak seperti dulu, di mana pengkalan kuasanya agak besar merangkumi orang Melayu dan bukan Melayu.“Tetapi selepas Pilihan Raya Umum ke-12, pengkalan kuasa BN telah menjadi sempit dalam erti kata hanya mendapat sokongan daripada orang Melayu sahaja,” katanya.
Menurut Dr Rosli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, ini kerana BN tidak lagi mendapat sokongan orang bukan Melayu.
Sebab itulah katanya, Najib cuba memperkenalkan pembaharuan ekonomi dan MBE bertujuan untuk memulihkan pengkalan kuasa, ia bertujuan untuk menarik semula sokongan yang orang bukan Melayu terhadap BN.
Katanya, walaupun Najib telah menjadi perdana menteri lebih dua tahun pembaharuan ekonomi tidak berlaku dan MBE tidak dilaksanakan.
Turut mempengaruhi kegagalan Pembaharuan dan MBE itu adalah kerana terdapat desakan kuat daripada kaum Melayu yang masih mahukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diteruskan.
Konsep keadilan untuk semua tidak benar-benar dihayati dan Dr Rosli merasakan Perdana Menteri dipengaruhi oleh golongan pelampau Melayu di dalam dan luar Umno.
“Perdana Menteri termakan dengan dakyah presiden Per kasa, Dato’ Ibrahim Ali yang menekankan tunggak pemerintahan Umno mesti berlandaskan ketuanan Melayu.
“Memikirkan Melayu pengkalan kuasanya yang utama, Najib tidak mahu ia terjejas dalam apa jua hal. Akhirnya, di sana ada ketidaksediaan untuk melaksanakan polisi-polisi yang telah dirangka dalam pembaharuan ekonomi dan MBE,” jelas Dr Rosli.
Najib juga menurutnya tidak sehaluan dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ini samalah terjadi sebagaimana ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak sehaluan dengan timbalannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tetapi katanya, Mahathir lebih berani bertindak menyingkirkan timbalannya berbeza Najib tidak mempunyai kekuatan sebegitu.
Ini juga katanya, menyebabkan Najib tidak mampu untuk membuat keputusan yang bijak dan penting yang perlu beliau putuskan kerana kekurangan keberanian.
Muhyiddin juga tegasnya tidak memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada Najib dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat oleh beliau.
Ini jugalah katanya, menyebabkan Najib menjadi perdana menteri yang lemah pada masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.