SEDAKA SEJAHTERA
KUALA LUMPUR: Ekoran bebanan kos hidup yang tinggi yang terpaksa ditanggung rakyat, PAS mengajak seluruh warga negara ini bersama mereka dalam kempen membantah kenaikan harga barang.
Kempen tersebut yang dikendalikan Lajnah Pengguna PAS, akan dilancarkan 20 Ogos ini dengan pelancaran Kelab Protes Barang Naik atau singkatannya Protes BN sebagai permulaan.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Protes BN adalah sebagai usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung peningkatan kos hidup khususnya kenaikan harga barangan keperluan.
"Kita mahu rakyat sedar punca berlakunya kenaikan harga barangan ini disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi oleh kerajaan BN.
"Perkara ini boleh dielak jika tiada keborosan, tiada ketirisan dan tiada amalan rasuah dalam pentadbiran negara," katanya kepada Harakahdaily.
Selain itu, kempen tersebut juga akan diperluaskan ke seluruh negeri termasuk dengan mengadakan ekspo, road show dan penyebaran risalah.
Untuk tujuan itu juga, satu laman web khas akan diwujudkan.
"Kita akan memberitahu rakyat, kenapa mereka dibebankan dalam masa yang sama pemimpin negara boleh terus bermewah-mewah," tegasnya lagi.
Mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak yang memasukan aspek Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Mahfuz secara sinis menyifatkan ianya sebagai janji "mulut manis" perdana menteri itu.
"Mereka sendiri sebenarnya yang menaikkan harga barang dengan menarik subsidi rakyat," katanya.
Sehubungan itu rakyat ujarnya diseru untuk bersama dalam usaha menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan melalui kempen ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.