Isnin, 29 Ogos 2011

Lewat: Jambatan Sultan Yahya Petra ke SPRM

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) akan membawa isu kelewatan menyiapkan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua di Kota Bharu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Projek kerajaan Persekutuan yang bernilai RM157 juta itu sepatutnya dijadual siap pada Disember 2009 namun sehingga kini masih belum menampakkan akan siap dalam masa terdekat.

Beliau berkata, apa yang dibimbangi adalah wujud faktor lain khususnya rasuah dan salah guna kuasa yang menyebabkan projek itu gagal disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

"Saya akan bawa perkara ini kepada SPRM secepat mungkin.

"Selain itu saya juga akan mencari ruang untuk membangkitkan isu ini pada persidangan perlimen Oktober nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua sepanjang 800 meter tersebut terpaksa dilanjutkan dan dijangka siap pertengahan 2012 berikutan mengalami masalah teknikal.

Antara masalah utama menurut Mustapha adalah berkaitan pengambilan tanah seluas 1.3 kilometer persegi di sini yang masih belum selesai hingga melewatkan permulaan projek dan pemasangan paip air, paip Tenaga Nasional Berhad dan Telekom pada jambatan ini.

Projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua diuruskan Syarikat Konsortium Is-Ris Resources Sdn. Bhd., Jabatan Kerja Raya serta beberapa kontraktor lain.

Sehingga kini rakyat Kelantan terpaksa menunggu hampir tahun dan bersesak-sesak setiap kali melalui jalan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.