Ahad, 28 Ogos 2011

Fitnah: NUBE menang saman empat pegawai kesatuan dalaman Maybank

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menang dalam kes saman ke atas empat pemimpin kanan kesatuan dalaman bukan eksekutif Maybank dan memperoleh ganti rugi RM250,000 kelmarin.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menganugerahkan ganti rugi teladan RM250,000 dan kos sebanyak RM100,000.

NUBE memfailkan saman ke atas empat pegawai kanan Kesatuan Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu). Mayneu merupakan kesatuan dalaman bank utama negara ditubuhkan Oktober lalu.

“Hakim Mahkamah Tinggi juga mengarahkan kesemua defendan mengeluarkan permohonan maaf dan menarik kenyataan mereka dalam dua akhbar utama,” kata Solomon sambil menambah, defendan juga dilarang menerbitkan dan mengedarkan risalah-risalah berbaur fitnah.

NUBE memfailkan saman fitnah ke atas Presiden Mayneu Ahmad Nazrul Wan Nawi, Sazali Mohamed (naib presiden), Rajagopal Rakkiah (setiausaha agung) dan Jesni Mahmood (ahli jawatankuasa).

Kesatuan kebangsaan itu mendakwa empat pemimpin terbabit bersama dua yang lain iaitu Penolong Setiausaha Mayneu Norzeela Lamin dan Zayuddin Mohamed Yusop, seorang lagi ahli jawatankuasa menerbitkan risalah bersifat fitnah terteta nama Mayneu.

Kata Solomon, kes membabitkan Norzeela dan Zayuddin ditetapkan untuk didengar pada 10 dan 11 Oktober ini.

Kes membabitkan Ahmad Nazrul, Sazali, Rajagopal dan Jesni didengar akhir bulan lalu.

“Kami menyambut baik penghakiman ini. Penghakiman ini mengetepikan pelbagai bentuk dakwaan yang dilemparkan ke atas NUBE dan kepimpinan. Penghakiman ini juga dipercayai akan mengelak pihak lain daripada membuat dakwaan-dakwaan tidak berasas pada masa depan,” katanya lagi.

Mayneu didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 3 Januari lalu setelah mendapat pengiktirafan Kementerian Sumber Manusia.

Kedua-dua NUBE, yang berusia lebih lima dekad dan Mayneu menyasarkan pekerja-pekerja kumpulan bukan eksekutif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.