Sabtu, 27 Ogos 2011

Cuaca diramal baik menjelang Aidilfitri

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Cuaca diramal baik di seluruh negara semasa sambutan Aidilfitri yang dijangka diraikan oleh seluruh umat Islam pada Selasa ini.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata walaupun beberapa negeri di utara Semenanjung akan mengalami hujan, namun keadaan itu dijangka bertambah baik menjelang Isnin.

Beliau juga berkata hujan sekejap-sekejap yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta ribut petir di Pahang dan Johor Timur, tidak akan menyebabkan berlakunya banjir.

“Hujan yang dialami di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, bukanlah secara berterusan dan dijangkakan menjelang Isnin ini, akan bertambah baik.

“Sehubungan itu, tidak ada kemungkinan negeri-negeri tersebut dilanda banjir tetapi keadaan itu juga adalah bergantung pada kawasan-kawasan di negeri-negeri berkenaan,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau juga berkata hujan sekejap-sekejap dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perak dan Sandakan, Sabah.

Ribut petir pula dijangka melanda Pahang dan timur Johor, dan keadaan yang sama juga dijangka berlaku di Kuching, Samarahan dan Kapit, Sarawak.

Sementara di Sabah, ribut petir dijangka melanda bahagian Pantai Barat, Pedalaman, Sandakan, Tawau, Kudat dan Labuan, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.