Khamis, 28 Julai 2011

Video hari Bersih 2.0 di RTM

Oleh Subky Latif


HARI Bersih 2.0 sudah berlalu dan masuk ke minggu ketiga, tetapi polis dan sekutu perang sarafnya terus bertungkus lumus bagi menegakkan yang ia benar dalam tindakannya menghalang unjuk rasa Bersih 2.0 dan bagi meyakinkan orang ramai yang ia benar serta berbuat betul.

Hingga polis seolah-olah tidak ada kerja lain melainkan menghadapi dan menangani isu Bersih 2.0 dan kesan-kesannya yang dihadapinya.

Macam-macam ikhtiarnya bagi meredakan gema unjuk rasa sepetang itu dan tindakannya bagi membendung tsunami kebangkitan dan kebanjiran rakyat ke Kuala Lumpur hari itu.

Yang pertamanya polis hendak membetulkan pandangannya dan perkiraan RTM bahawa hadir hari itu kurang dari 10 ribu. Ertinya unjuk rasa itu gagal. Yang ganjilnya kehadiran tidak sampai 10 ribu tetapi yang ditahan antara seribu dan dua ribu. Nisbah tahanannya tinggi dari kehadiran.

Manakala Bersih pula mewarwarkan kehadiran berpuluh bahkan beratus ribu. Sasterawan Negara Samad Said saja menganggarkan lebih 50 ribu. Al-Jazeera yang melihat semua sudu Kuala Lumpur melalui pancaran satelitnya dari langit menyebut ratus-ratus ribu. Anak-anak muda yang bertelifon tangan berhubung sesama sendiri di seluruh Kuala Lumpur pun menganggarkan r atus ribu juga.

Maka inilah yang RTM dan polis hendak tangkis.

Kemudian polis hendak menangkis ia dikata ganas oleh banyak pihak. Kononnya pihak pro Bersih memiliki banyak video sebagai bukti gara-gara lebih laku polis. Para pemilik video itu ada yang mahu menyerahkan kepada polis dan ada yang tak mahu.

Maka tampillah RTM untuk menolong polis. RTM ada unit perang sarafnya membantu polis mengeluarkan video bagi membenarkan dirinya dan bagi membuktikan Bersih hanya berkata tidak benar dan berdakyah.

Disalurkannyalah video klip melalui RTM. Tidaklah ditunjukkan ramainya orang. Adalah gerakan kenderaan dan motosikal yang dibonceng yang tidak. Hanya kata latar yang mengatakan kenderaan polis tidak melanggar Mat Sabu sebaliknya Mat yang membonceng motorsikal jatuh terlanggar bahu jalan. Tiadalah Mat Sabu cedera teruk bah dilayan sebagai pesakit luar.

Tidak diketahui ramai mana yang percaya dan puas hati dengan video yang pertama. Kata Tok Menteri RTM, banyak lagi video yang akan ditayangkan.

Adakah RTM dan polis mencapai sasaran matlamat pembikinan dan tayang video itu? Sudah terjawabkah segala yang hendak dijelaskannya pada tahap video yang pertama itu.

Saya sendiri tidak banyak dari tayangan itu bahkan terasa ikhtiar polis dan RTM itu seperti bangsat saja. Saya harap orang lain tidak selemah saya bagi menangkap isi dan penjelasan video itu. Dan saya harap polis ddan RTM tidak jadi macam saya yang tidak dapat apa-apa yang berguna daripadanya. Moga- moga polis dan RTM dapat apa yang dihajatinya.

Video yang pertama saya rasa amat bangsat. Tidak apa yang ia dapat bantu polis. Dan saya tidak ada keyakinan video yang berikutnya dapat membantunya lagi.

Yang saya dapat katakan, RTM terkial-kial yang meyakinkan penonton dan polis pun terkial-kial yang hendak membetulkan tindakannya.

Polis menyangka kebanyakan video milik pro Bersih tidak asli sebaliknya telah diedit dan ditokok tambah bagi menjadikan ia dipercayai orang. Nampaknya polis pula hendak menjadi seperti pembangkang yang tidak menerima video lucah yang dikatakan pembabit Anwar Ibrahim sebagai tidak asli.

Bagi mengatakan video lucah tulen dan jenuin didapatkan pengesahan pakar filem dari barat. Agaknya RTM dan polis juga sudah mendapatkan pandangan pakar filem barat yang sama tentang video milik pro Bersih itu.

Apa pun dan sebaik mana pun isi video yang RTM salurkan itu, wajarlah difahami RTM itu alat dan saluran propaganda negara dan kerajaan. Ia tidak dikira sebagai agensi maklumat yang bebas.

Sebagai media kerajaan, TV dan radionya bertanggungjawab menyampaikan maklumat dan menegakkan kebenaran. Tetapi dunia umumnya mengira peranan menyampaikan maklumat sangat kerdil dibandingkan cap propagandanya.

Apa lagi kalau demokrasi yang dipegang oleh kerajaan itu satu demokrasi tiga suku. Maka peranan propagandalah yang lebih terserlah. Berhempas pulaslah polis dan TV hendak menegakkan yang tidak kering, sakit orang hendak mendengarnya apa lagi hendak mempercayainya.

Selama 20 hari ini Bersih sudah mulai rehat. Ia mula menilai kekuatan dan kelemahannya. Ia sudah boleh selesa dengan pandangan dan reaksi banyak pihak tentang peranannya. Yang masih tidak dapat rehat ialah polis dan RTM gagal bagi membelnya.

Kalau polis memilih memberi kerjasama kepada Bersih, sudah tentu ia boleh rehat sebagai saja unjuk rasa itu selesai selepas Asar 9 Julai itu juga.

Sepatah kata puteri Dr. Mahathir yang hadir bersama anaknya di tengah unjuk rasa Bersih itu, macam-macam orang kata tentang pentadbiran bapanya, tetapi pentadbiran hari ini amat teruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.