Khamis, 28 Julai 2011

Ulama muda Umno sudah jatuh ditimpa tangga

Nasrudin Hassan


1. Saya masih ingat, antara maklumat yang diterima ramai orang dan bertiup pula ke serata ruang tatkala mengiringi kemasukan 40 ulama' muda ke dalam Umno baru-baru ini ialah kerana mahu mengelak dari dilabel sebagai pengganas atau terroris. Kebetulan, pada masa itu terdapat usaha dari beberapa pihak yang giat menyerang fahaman wahabi dan lebih nekad mengaitkannya dengan kumpulan pengganas.

2. Antara yang dipalit dan diseret ke kancah wahabi dan pengganas ialah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mantan Mufti Perlis. Namun alhamdulillah, Dr. Mohd Asri tidak mudah terpedaya dan tidak mudah mengantuk biarpun telah dihulurkan bantal empuk buat beliau.

3. Buat beberapa purnama, isu pengganas ini reda, demikian juga isu wahabi surut seketika. Sementara itulah, ulama' Muda Umno giat menyerang usaha yang dilakukan oleh PAS terutama dalam beberapa isu seperti isu Majlis Fesyen Islam yang dinaungi oleh Rosmah Mansur di Monte Carlo. Ketika DPP Malaysia membantah, ulama' Muda Umno tampil mempersoalkan tindak DPP Malaysia ketika itu tanpa pula mempersoalkan penganjuran majlis tersebut.

4. Terbaru isu Himpunan BERSIH 2.0 yang menyaksikan beberapa tokoh Ulama' Muda UMNO ini gigih mempertahankan kerajaan dan sekaligus menempelak penganjuran himpunan BERSIH 2.0 sebagai bertentangan dengan syariat Islam dan manhaj salafus soleh.

5. Tidak semena - mena, setelah Ulama' Muda Umno mengerah segala keringat, ilmu dan masa untuk mempertahankan kerajaan dan memburukkan BERSIH 2.0 , kini mereka pula disenaraikan sebagai wahabi dan lebih malang dikaitkan pula sebagai pengganas.

6. Ternyata usaha Ulama' Muda Umno tidak langsung dihargai, kedudukan mereka kini seperti habis madu sepah dibuang merata - rata. Saya tidak pasti apakah benar matlamat mereka menyertai Umno adalah untuk menyelamatkan diri mereka dari terus dilabel sebagai wahabi dan pengganas atau tidak.

7. Andai benarlah bagai dikata, saya sungguh bersimpati dengan nasib 40 Ulama Muda Umno, sudahlah mereka jatuh terperosok dalam perangkap UMNO kini mereka pula tertimpa tangga yang mereka panjat sendiri untuk mencari ruang selesa dalam UMNO, parti yang mereka sangka mampu menyelamatkan kedudukan mereka pada waktu itu.

8. Andai maklumat umum yang saya terima itu tiada kebenarannya, maka atas dasar dan asas apa sekalipun 40 Ulama' Muda yang menyertai UMNO tempohari, setelah dipuja dan dijulang sebagai pembawa rahmat dan manisan buat Umno, kini usaha mereka dibalas racun berbisa apabila mereka terus dilabel sebagai Wahabi dan pengganas. Kelihatan Pergerakkan Pemuda Umnopun tidak mempertahankan Ulama' Muda UMNO tersebut biarpun dalam masa yang sama mereka membela Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Apakah Pemuda UMNO merasakan Ulama' Muda UMNO ini menjadi saingan mereka lalu membiarkan mereka dipalit label pengganas ? wallahua'lam bissowab.

9. Saya mengenali sebahagian dari tokoh Ulama' Muda UMNO tersebut. Tidak tergambar pada fikiran saya dengan raut wajah dan susuk tubuh yang dimiliki, mereka boleh tersenarai sebagai pengganas. Tapi apa boleh buat, kini usaha memerangi fahaman wahabi dan mengaitkannya dengan pengganas telah berjaya mempengaruhi pihak kerajaan. Sebagaimana Ulama' Muda UMNO itu begitu tega menuduh BERSIH 2.0 dengan pelbagai label maka kini kerajaan tidak sedikitpun menunjuk wajah simpati kepada mereka dengan melabelkan mereka pula sebagai ppengganas.

10. Sementara kerajaan UMNO dan BN ini pula memang terkenal mudah melabel satu - satu pihak dengan label yang bukan - bukan sesuka hati mereka. Terbaru lebih 60 Ngo yang bergabung membentuk sebuah kempen dikenali sebagai BERSIH 2.0 telah dilabel sebagai komunis dan mendapat pembiayaan dari kuasa asing. Kini saya termenung dianjung musolla sambil mengenang isu ini dan hati saya berdetik, kalaulah 40 Ulama' Muda itu menyertai PAS lalu berganding memperjuangkan Islam, membasmi kejahilan, menentang kezaliman, membenteras kemungkaran dan menegakkan syariat, alangkah manis dan indahnya. Berbaloi digelar "pengganas" oleh kerajaan UMNO dan BN kerana menentang mereka.

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.