Khamis, 28 Julai 2011

SPR wajib kembali kepada tuntutan Bersih

Harakahdaily


KUALA LUMPURi: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 terutama penggunaan dakwat kekal.

Ini kerana langkah itu adalah berkesan, murah, memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Demikian kenyataan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Wakil-wakil parti terdiri daripada Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurut mereka, sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat.

“Mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat, kami mengalu-alukan penyataan Perdana Menteri mengenai pelaksanaan sistem biometrik yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa pengundi hantu dan pengundian berulang kali memang wujud dalam amalan pilihanraya di negara ini,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Menurut mereka, langkah SPR mencadangkan pelaksanaan sistem biometrik untuk mengekang masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali adalah bukti bahawa pimpinan Barisan Nasional sekalipun tidak mampu menafikan suara rakyat yang menyertai Bersih 2.0.

“Maka, kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai 2011 baru-baru ini,” ujar mereka.

Tambah mereka, tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan itu wujud.

Namun begitu, kata mereka penerimaan terbuka oleh SPR dan Barisan Nasional itu diikuti pula dengan cadangan sistem biometrik yang hanya akan menambahkan masalah; bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini.

“Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem,” ujar mereka lagi.

Maka, ujar mereka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah; iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah.

Ini, kata mereka akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13.

Justeru, ujar mereka lagi pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan.

“Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderongan pengundi keluar mengundi,” kata mereka.

Menurut mereka lagi, sistem biometrik juga akan menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihanraya adalah adil dan saksama.

Tambah mereka, apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi.

“Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil,” kata mereka.

Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.