SHAH ALAM : Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih bersikap defensif dan terus menunding jari kepada pihak lain, wacana pusingan kedua antara badan tersebut dengan Bersih 2.0 tidak akan berjaya.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata matlamat wacana itu sendiri adalah positif dan akan memberi banyak ruang kepada kerjasama antara kedua- dua badan tersebut.
Namun sikap keterbukaan kedua- dua pihak amat penting untuk memastikan majlis perkongsian minda itu berjalan lancar seterusnya mencapai kata sepakat.
"Apakah ia akan membuahkan hasil ? Itu tergantung pada perbincangan itu," tegasnya.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum ini terpaksa berdepan dengan cemuhan hadirin dalam debat mengenai hala tuju sistem pilihanraya negara.
Datuk Wan Ahmad di'boo' beberapa kali sehingga terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan dalam debat yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf.
Manakala Ambiga menjadi sasaran hadiran yang mendakwa kononnya Bersih 2.0 tidak mengambilkira kepentingan rakyat dalam menganjurkan perhimpunan seperti pada 9 Julai lalu.
Saifuddin menambah, melalui pengamatannya, SPR pada wacana pusingan pertama anjuran Kumpulan Karang Kraf, Selasa lalu lebih banyak mengutarakan pendapat yang bersifat defensif yang seolah- olah lepas tangan terhadap segala kelemahan yang ada dalam sistem pilihan raya negera ini.
"Pusingan pertama anjuran Karang Kraf itu, saya nampak SPR bersifat defensif. Kedua SPR banyak tunding jari pada pihak lain dan ketiga, SPR mengamalkan unsur penafian, " tegas Saifuddin.
Wan Ahmad semasa menjadi panel yang mewakili SPR dilihat mengelak dari mengulas beberapa persoalan penting disamping sering menyalahkan kerajaan pemerintah UMNO BN yang enggan memperkasakan sistem pilihan raya negara.
Beliau berkata, SPR tidak punya kuasa dalam memperbaiki sistem tersebut dan menunding jari kepada ahli Parlimen yang tidak mempunyai kemahuan politik untuk mengubahnya.
Bagaimanapun, Saifuddin masih berharap SPR, khususnya Wan Ahmad agar berlapang dada dalam menerima buah pandangan Bersih 2.0 dan menimbangkan secara serius cadangan- cadangan yang diajukan pertubuhan bukan kerajaan itu.
"Tapi saya percaya, SPR akan belajar daripada wacana pusingan pertama yang menemukan Datuk Wan Ahmad dan Datuk Ambiga sendiri. Saya harap dia dapat berlapang dada dan menerima cadangan daripada pengerusi Bersih sendiri," katanya.
Susulan kemunculan kelmarin, Wan Ahmad dan Ambiga sekali lagi tampil berdiskusi di atas pentas yang disediakan oleh Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia di bawah tajuk “Undang-undang Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pembaharuan Pilihan Raya” di Dream Centre, Petaling Jaya petang ini.
Seorang lagi anggota panel adalah Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Asean, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.