KUALA LUMPUR: Polis mengemukakan soalan tidak masuk akal kepada peguam, N Surendran termasuk bertanya samada beliau merupakan seorang pakar gas pemedih mata.
Soalan itu ditanya pihak berkuasa itu ketika mengambil keterangan Surendran di Balai Polis Jalan Travers, petang semalam.
Lebih melucukan soalan bertanyakan sama ada lima plat titanium yang dimasukkan ke rahang pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Al-Bakri dilakukan oleh manusia, kata peguam Latheefa Koya.
“Memang tak masuk akal. Apa relevannya soalan ini? Apakah kita perlu menjadi pakar gas pemedih mata untuk membuat laporan polis? Kenapa menyoal peguam sedangkan tugas sebenar mereka ialah membuat siasatan?,” soal Latheefa.
Surendran, yang juga Naib Presiden KEADILAN dipanggil memberi keterangan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Acara Jenayah berdasarkan satu laporan yang dibuat berhubung kenyataannya kepada media yang didakwa ‘mengancam ketenteraman awam’
Ia difailkan seorang anggota polis yang tidak dinamakan pada hari yang sama Fayyadh membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, 20 Julai lalu.
Keterangannya dirakamkan oleh ASP Sabri Yanteng, di balai polis Jalan Travers.
Menganggap proses itu sebagai gangguan, Surendran yang ketika itu sedang menemani anak guamnya Fayyadh Al-Bakri, namun terpaksa pula ditemani Latheefa untuk memberi keterangan.
“Begitu juga soalan – ‘apakah kamu tahu apa itu Bersih, ‘siapakah MP Khalid Samad seperti yang dimaksudkan’ dan ‘apakah itu kanister? Memang tak masuk akal. Mereka sepatutnya menyiasat laporan yang dibuat Fayyadh,” tegas Latheefa.
Surendran dalam reaksinya menuntut pentadbiran tertinggi Polis dan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein menjawab tindakan ganas ketika menyuraikan peserta himpunan Bersih 2.0.
“Ini sikap dan mentaliti apabila polis membiarkan institusi mereka diperkudakan kerajaan. Mereka tak membuat siasatan, tetapi menyiasat orang yang membuat laporan.
“Saya bertegas dengan kenyataan sebelum ini bahawa tindakan berbahaya yang dilakukan polis, iaitu mengacu dan mengarahkan muncung senapang gas pemedih mata ke arah peserta himpunan Bersih di KL Sentral adalah salah kerana ia akan menyebabkan kecederaan serius.
“Jangan berdalih atau cuba mengalih isu. Kami takkan berhenti untuk mendesak siasatan supaya keadilan dapat ditegakkan,” kata Surendran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.