Ahad, 31 Julai 2011

Pesakit mental dikenal pasti bakar HKL

BERNAMA


Kebakaran yang berlaku di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala lumpur (HKL), awal pagi semalam dikenal pasti berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api yang ada padanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata punca kejadian pada 12.30 pagi itu diketahui melalui pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV) di bilik itu.

Katanya ekoran itu api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal sehingga menyebabkan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan tergendala.

"Petugas hospital cuba memadamkan api dengan alat pemadam api dan mengeluarkan pesakit. Bagaimanapun api merebak dengan pantas sehingga meragut nyawa pesakit mental berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Hasan berkata, sebelum kejadian, pesakit mental itu yang bertindak agresif telah dibawa oleh polis dengan diringi dua anggota keluarga ke Jabatan Kecemasan pada 10.15 malam.

Beliau berkata pesakit itu yang pernah menerima rawatan di HKL ditempatkan di Bilik Isolasi Pesakit Mental selaras dengan Prosedur Operasi Standard bagi pesakit mental yang agresif.

Katanya pesakit lain serta petugas Jabatan kecemasan telah dipindahkan keluar sehingga api berjaya dipadamkan oleh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat jam 12.55 pagi.

Dr Hasan berkata kejadian itu menyebabkan perkhidmatan di jabatan itu tergendala selama 94 minit dan disambung semula pada 1.20 pagi dan kerosakan hanya melibatkan bilik tersebut.

"Tidak ada pesakit lain atau kakitangan hospital yang tercedera akibat kebakaran. Pemeriksaan bedah siasat pada mayat pesakit itu mendapati punca kematiannya adalah "tersedut asap tebal"," katanya.

Dr Hasan menjelaskan bahawa kematian berpunca kebakaran hanya melibatkan pesakit mental itu sahaja dan bukan dua orang seperti dilaporkan sesetengah akhbar tempatan.

Katanya ini kerana dua kematian lain di unit berkenaan pada ketika itu adalah akibat kemalangan jalan raya.

"Pihak kementerian kesal dengan kebakaran itu dan melahirkan rasa simpati kepada anggota keluarga yang terlibat dan kementerian juga akan membuat penambahbaikan dan tindakan bersesuaian jika hasil siasatan mendapati sebarang kelemahan dalam pengendalian kes," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.