Khamis, 28 Julai 2011

Khairi bergelut untuk kembali popular tapi popular - popular

Oleh: TopengMerah


"Kenyataan Ketua Pemuda Umno menerusi Utusan Online hari ini yang mengatakan demonstrasi jalanan bukanlah perkara biasa bagi masyarakat kota besar negara lain adalah mengelirukan. Ini adalah kerana beliau kemudiannya mengakui yang fakta berdemonstrasi di U.S memerlukan permit. Ini secara tidak langsung menunjukkan yang demonstrasi sebenarnya adalah satu kebiasaan di Amerika dan bukanlah satu kesalahan. Malah kerajaan negara Uncle Sam itu sendiri pun tidak mempunyai masalah untuk meluluskan permit, tidak seperti negara kita.

Namun KJ dalam kenyataannya menokok tambah yang peserta demonstrasi di Malaysia lebih bersifat provokatif terhadap pihak berkuasa terutamanya PDRM, suatu kenyataan yang pada pandangan saya tidak berasas dan lebih bersifat emosional semata-mata.

Saya tidak faham kenapa baru hari ini KJ mengungkitkan isu dan tuduhan ini. Sekiranya demonstrasi itu adalah satu perkara yang tidak baik dan salah, kenapa KJ dan Patriot menyibukkan diri turut sama berdemonstrasi? Tindakan ini tak ubah seperti budak-budak yang tidak matang. Malah tujuan Patriot menyertai demonstrasi itu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dan tindak balas mereka terhadap pihak yang lain itu adalah merupakan satu ancaman dan lebih merbahaya. Dia dan Patriot dilihat penuh bersedia bagi membenteras kononnya "penyangak-penyangak jalanan" bagi mempertahankan kestabilan negara. Ini tiada lain melainkan, KJ sebenarnya mahu dirinya dilihat sebagai hero dalam drama ini.

Sekiranya kerajaan Malaysia betul-betul telus dan bersih dan bersifat terbuka dan bukannya autoritarian, sepatutnya permit dapat diluluskan. Dan selepas permit diluluskan, pantaulah aktiviti demonstrasi itu dengan baik. Sekiranya pihak yang telah diberikan permit berdemonstrasi itu gagal mematuhi undang-undang, barulah tindakan keras diambil ke atas mereka.

Sebaiknya KJ harus memberikan kenyataan yang lebih menunjukkan kematangannya sebagai seorang pemimpin pemuda dan bukannya mengeluarkan tuduhan yang tidak berpaksikan kepada fakta.

Saya melihat "kokokan" ini tidak lebih dari satu muslihat beliau untuk mengembalikan populariti nya yang semakin suram dari arus politik perdana."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.