Jumaat, 1 Julai 2011

‘Ini bukan tuntutan Ambiga tapi tuntutan Bersih’, kata peserta forum

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pihak yang mengecam Himpunan Bersih 2.0 termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta agar tidak melakukan ‘serangan peribadi’ ke atas Datuk Ambiga Sreenevasan sebaliknya melihat isu semasa sebagai satu “tuntutan Bersih” secara umum semata-mata demikian kata seorang peserta forum “Tuntutan Bersih – Apa Penjelasan SPR?” hari ini.

Mengetengahkan pandangan itu pagi tadi, Timbalan Presiden Angkatan Warga Aman Malaysia Gobi Krishnan berkata, SPR khususnya selaku badan berkecuali wajar melihat perkembangan semasa sebagai “tuntuan Bersih, bukannya tuntutan Ambiga.”

“Ini bukan tuntutan Ambiga, tetapi ini tuntutan yang dibawa oleh Bersih sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan... jadi mengapa kita hendak serang Datuk Ambiga secara peribadi,” kata beliau selepas forum tersebut, yang dianjurkan oleh Institut Perkembangan Minda (Inmind) di sini.

Terdahulu ketika mengambil bahagian dalam sesi dialog forum itu, Gopi mencadangkan kepada Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar agar tidak merujuk nama Ambiga dalam setiap hujah yang diketengahkan.

“Bersih bukan diwakili oleh Ambiga seorang sahaja ... dalam Bersih ada wakil-wakil pelbagai kaum,” katanya merujuk kepada barisan jawataankuasa pemandu.

Himpunan Bersih 2.0 dijadual untuk didakan di ibu negara pada 9 Julai ini.

Selain Ambiga, jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 terdiri Andrew Khoo, K Arumugam , Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Subramaniam Pillay dan Arul Prakkash.

“Jadi, saya berharap kita jangan anggap ini tuntutan peribdi Ambiga tetapi sebagai ini tuntutan Bersih,” katanya yang turut mengharapkan agar ia tidak dijadikan isu perkauman.

Sejak awal bulan ini Himpunan Bersih 2.0 dilihat sebagai isu perkauman dengan media pro-Umno dan BN menganggap perhimpunan ini diketuai oleh satu individu bernama “Ambiga.”

Malah media terbabit juga menggambarkan Ambiga digunakan oleh parti-parti politik Pakatan Rakyat untuk kepentingan mereka.

Dalam komennya petang tadi, Ambiga berkata SPR seharusnya berhenti daripada menuduh Bersih hanya memperjuangkan agenda pembangkang jika mahu agensi itu dilihat sebagai bertindak berkecuali.

Pengerusi Bersih itu berkata, SPR perlu berhati-hati dengan apa yang diperkatakan kerana suruhanjaya tersebut dikehendaki kekal sebagai sebuah badan yang bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sebabnya kami mengatakan bahawa adakah ia menunjukkan mereka (SPR) itu bebas? Dan, saya minta rakyat membuat penilaian,” kata beliau.

Awal hari ini, Wan Ahmad berkata pihaknya tidak pernah menutup pintu kepada Bersih untuk mengadakan perbincangan.

“Saya ingin merayu, pintu perundingan kepada Bersih masih terbuka, belum ditutup,” kata beliau.

Sambil berulang kali meminta Bersih memisahkan daripada parti-parti politik, Wan Ahmad berkata, Bersih pernah memulis surat kepada SPR untuk mengadakan pertemuan susulan pada awal tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.