Jumaat, 1 Julai 2011

Himpunan aman mahu ‘bersihkan’ pilihan raya ‘kotor’

Muhammad Yusri Amin


RANTAU PANJANG: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berfikir secara tenang dalam menghadapi isu Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Lebih jauh dari itu Husam mendakwa sekiranya Datuk Najib bijaksana, beliau mestilah mengizinkan perhimpunan itu berjalan dengan baik.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri bagaimana pun mendakwa, sekiranya Perhimpunan Aman Bersih 2.0 diganggu maka imej Malaysia di mata dunia menjadi lebih buruk lantaran pelabur menjauhi negara ini.

“Jadi saya harap Perdana Menteri fikir betul-betul.

“Jangan jadikan ‘kebangkitan Bersih’ seperti ‘Timur Tengah’ di mana polis Mesir menindas penunjuk perasaan menyebabkan kemarahan semakin memuncak kepada Kerajaan Mesir,” dakwanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan lebih 100 peneroka Felcra Bukit Tandak, di Kampung Rahmat, Gual Periok dekat sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok Mohamd Awang yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Adun Bukit Tuku Abdul Fatah Harun dan Adun Kadok Azami Mohd Nor.

Husam menambah, Datuk Hishammuddin adalah seorang yang ‘menggelabah’ berhubung himpunan Bersih 2.0.

“Dia macam Ibrahim Ali juga. Jadi saya harap Perdana Menteri tukarkan Menteri Dalam Negeri, melantik seorang yang lebih matang lagi supaya Menteri Dalam Negeri tidak mengikut perasaan dalam mengendalikan isu-isu seperti Bersih ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, beliau berkata apa yang berlaku sekarang menunjukkan Umno Barisan Nasional kini ‘macam hilang pedoman’.

Ini, katanya kerana mereka menggeledah salah satu pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya tanpa waran, dan ahli-ahli politik juga disoal siasat oleh polis.

Beliau berkata, sepatutnya Perdana Menteri mengarahkan kepincangan dalam sistem demokrasi dan pilihan raya dibersihkan.

“Jadi kalau kepincangan itu ‘dibersihkan’, kita tak payah berhimpun, tetapi kalau proses demokrasi telah ‘dikotorkan’, maka kita bertanggungjawab membersihkannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.