MALAYSIA KINI
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikap tidak konsisten dan dolak dalik kerajaan berhubung tahanan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat adalah alasan utama bagi membebaskan mereka.Dalam satu kenyataan di blognya, alasan keenam-enam mereka yang ditahan kerana didakwa terbabit dengan aktiviti subversif sebelum bertukar pula kepada terbabit merancang perhimpunan BERSIH 2.0 adalah tidak berasas sama sekali.
“Ternyata itu merupakan helah pemerintah untuk memburuk burukkan BERSIH 2.0. semata-mata,” kata Anwar.
Keenam-enam mereka adalah ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu yang ditahan mengikut EO sejak 2 Julai lalu.
Mereka yang kini dikenali sebagai PSM6 - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.
Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir tetapi polis berhak melanjutkannya selama 30 hari lagi.
Sambil menuntut pembebasan segera keenam-enam individu yang dipercayainya mangsa “manipulasi politik”, Anwar berkata perkara itu penting kerana ada kemungkinannya mereka yang ditahan itu dikasari pihak polis semasa disoal siasat.Manipulasi politik
“Kita prihatin dengan perkembangan mutakhir ini, apabila ada antara mereka yang kini mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dibenarkan bertemu hatta dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Adalah tidak munasabah buat polis tidak membenarkan pihak keluarga bertemu dengan enam pemimpin itu semenjak dari 15hb Julai lagi.
“Tidak ada sebab untuk menghalang mereka dari bertemu kecualilah kebimbangan kita bahawa tahanan tersebut dianiaya punya asasnya,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata sewajarnya Menteri Dalam Negeri prihatin dengan gesaan rakyat yang kini menuntut kerajaan supaya tidak bertindak sewenang wenangnya dan menyalahguna kuasa.
“Ketika perhimpunan BERSIH 2.0 itu rakyat menyaksikan ada sesegelintir dari pihak polis bertindak keterlaluan dan melampaui batas.
“Kita tidak mahu tugas pasukan polis, iaitu untuk melindungi keselamatan orang awam terjejas akibat manipulasi politik pemerintah,” katanya.
Justeru, kata Anwar yang juga ketua umum PKR, Pakatan Rakyat beriltizam meningkatkan kempen di seluruh negara, demi menerangkan kepada rakyat, kezaliman kerajaan yang bukan sahaja terhadap enam individu itu tetapi juga terhadap seluruh mangsa tahanan tanpa bicara seumpama yang terkandung dalam Ordinan Darurat.
“Undang-undang usang yang menindas itu, tidak lagi untuk melindungi keselamatan negara, bahkan sebaliknya dimanipulasi demi membungkam suara-suara yang tidak sependapat dengan pemerintah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.