Dalam satu majlis dialog yang panas di Shah Alam semalam, terbongkar sudah hakikat bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan suara kepada Barisan Nasional apabila timbalan pengerusi suruhanjaya tersebut Datuk Wan Ahmad Wan Omar tersasul menyebut ‘kemesraan’ hubungan badan yang sepatutnya bebas itu dengan parti pemerintah.
“Barisan Nasional tak hentam SPR,” katanya disambut teriakan ‘boo’ oleh para hadirin sewaktu dialog berkenaan.
“Kita (SPR) memang ada hubungan yang baik dengan Bukit Aman,” antara yang disebutnya dengan lantang dan jelas.
Dalam wacana “Apa Selepas 9 Julai” yang dikelolakan oleh Sinar Harian dan Karangkaf semalam, terdapat beberapa input yang boleh difikirkan rakyat Malaysia, antaranya berkaitan sistem biometrik, pengundi yang telah meninggal dunia, SPR dan hubungannya dengan parti-parti politik Malaysia serta ketelusan dan kebebasan SPR sendiri.
Sistem biometrik
Di awal pembukaan dialog, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan sebagai ahli panel menekankan bahawa sistem biometrik yang dicadangkan oleh kerajaan BN tidak boleh digunakan jika pilihan raya berlaku awal tahun depan kerana SPR perlu menerangkan kepada rakyat tentang penggunaan sistem itu dalam tempoh yang singkat.
Tambahnya, sistem biometrik ini juga perlu lebih canggih memandangkan ia akan digunakan secara berterusan dan cepat pada hari pengundian.
Bagaimana pun, Wan Ahmad menjelaskan bahawa salah satu tujuan untuk melaksanakan sistem biometrik ialah kerana mahu ‘maju ke hadapan’ dari sudut teknologi.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa 12 angka nombor kad pengenalan MyKad akan dijadikan batu penanda kepada sistem biometrik pada pilihan raya.
Selain itu, beliau menambah bahawa penggunaan dakwat kekal tidak sesuai dengan keadaan negara sekarang, apa lagi mengambil contoh negara lain seperti India dan Indonesia yang menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya, kerana penggunaan dakwat kekal juga boleh dimanipulasi.
Beliau menyoal hadirin bagaimana jika awal pagi, pengundi yang datag awal sudah dicalit jarinya dengan dakwat kekal, sedangkan pengundi tersebut belum mengundi. (Mungkin beliau tidak terfikir pegawai SPR boleh memeriksa semua jari pengundi sebelum diberikan kertas undi)
Ambiga yang terkenal dengan sikap terbukanya menyatakan kesediaan Bersih untuk duduk berbincang dengan SPR tentang hal itu tanpa mengorbankan lapan tuntutan Bersih bagi mewujudkan pilihan raya bebas, adil dan bersih.
Pengundi yang telah meninggal dunia
“Saya tidak boleh membayangkan kita (Malaysia) tidak boleh merekodkan (kematian) sedangkan sistem kita terlalu canggih,” jelas Ambiga.
Katanya kecanggihan sistem yang digembar-gemburkan kerajaan termasuk sistem canggih biometrik nampak hebat tetapi lemah kerana gagal merekodkan kematian pengundi. (Kerana itu Pakatan Rakyat telah banyak kali membangkitkan isu di mana dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, “orang mati” masih boleh mengundi)
Wan Ahmad yang meneruskan tradisi kepimpinan SPR hanya mampu memberi jawapan yang ‘standard’ iaitu Jabatan Pendaftaran Negara yang menyimpan rekod orang yang sudah meninggal dunia.
Persoalannya ialah, jika benar SPR ingin meningkatkan kredibiliti mereka, kenapa SPR tidak bekerjasama dengan JPN?
Pilihan raya ‘baik’
Wan Ahmad menempelak Bersih kononnya tidak memperjuangkan sesuatu yang ‘baik’ sedangkan soalnya, siapa yang tidak mahu perkara yang baik, dan yang lebih melucukan, beliau sebagai wakil SPR mengeluarkan kata-kata ini:
“Barisan Nasional juga mahu (pilihan raya) yang baik.”
Dalam percubaan untuk menutup malu SPR, beliau menuduh rakyat pula yang didakwanya membuat persepsi yang salah. SPR cuba mempertahankan diri, tetapi ditembak pula dari pelbagai sudut.
Dengan itu beliau berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional tidak menghentam SPR seperti mana barisan pembangkang.
Jelas Wan Ahmad, Barisan Nasional juga mengkritik SPR, tetapi kritikan mereka itu tidak dicanang di dalam media.
Justeru itu, Ambiga membalas tentang kritikan BN terhadap SPR itu dengan berkata: “(Sebaliknya) kita (Bersih) yang kena serang (oleh kerajaan).”
Menurut Ambiga, Bersih diadakan kerana tekanan selepas melihat pilihan raya Sarawak baru-baru ini yang penuh dengan rasuah dan tipu helah oleh pihak tertentu yang berkepentingan.
Oleh itu, adalah sangat jelas SPR kelihatan tidak telus seperti ‘teguran’ moderator Wan Saiful berhubung cara bercakap wakil SPR itu yang ketara partisannya terhadap BN.
Rumusan
Dalam wacana yang sedikit huru-hara itu akibat emosi orang ramai yang tak tahan dengan jawapan mandom wakil SPR itu, Wan Ahmad kelihatan sedikit kaget dan tertekan.
Walau pun tekanan orang ramai itu mungkin tak seteruk tekanan yang dikenakan oleh para pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mendiang Teoh Beng Hock, tetapi kenyataan-kenyataan yang keluar dari mulut Wan Ahmad itu adalah sangat ketara sifatnya membela BN.
Kenapa? Mungkin, seperti apa yang dijelaskan di awal wacana, Wan Ahmad mengakui SPR secara keseluruhannya dikongkong dan ditekan oleh kerajaan melalui pelbagai undang-undang termasuklah Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya.
Mungkin Wan Ahmad perlu diingatkan bahawa SPR adalah badan yang bebas dan ianya dilantik serta ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong agar pilihan raya bebas, bersih dan telus, dan sepatutnya hanya bertanggungjawab kepada Parlimen, dan bukannya Perdana Menteri atau Kabinet atau mana-mana parti.
Justeru itu adalah sangat tidak wajar apabila Wan Ahmad mengulang-ulang kenyataan bahawa SPR tidak ada kuasa untuk mengawal kepincangan pilihan raya kerana ianya bukan dapat meyakinkan rakyat Malaysia pun, tetapi sebaliknya akan membuatkan rakyat lebih meluat dengan SPR.
Kerana itu juga pertubuhan Bersih bosan mahu bertemu dengan SPR yang akan terus mengulang jawapan yang sama semata-mata kerana ia takut untuk berkata yang benar di depan Perdana Menteri dan kerajaan BN.
Dan bukti betapa meluatnya rakyat Malaysia, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang turut hadir dalam wacana semalam, pemimpin perlu peka dengan tiga realiti sekarang – kemunculan media baru, kesedaran sosial baru, dan penyertaan rakyat dalam perubahan demokrasi.
Adakah belum jelas bahawa SPR tidak nampak atau buat-buat tidak nampak lagi, walhal pemimpin generasi muda UMNO itu pun bolehkan sedar, apatah lagi sebuah badan profesional yang bebas dan kononnya ‘telus itu?
Mungkin kerana itu SPR hanya menjadi pak turut apabila kerajaan BN mencadangkan sistem biometrik tetapi marah apabila Bersih mencadangkan lapan idea untuk membersihkan pilihan raya di negara ini.
Lain diminta, lain pula diberikan; seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab. Bersih hanya menuntut kerajaan supaya – membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, memberi akses media bebas dan adil, memberi masa berkempen minimum 21 hari, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghapuskan politik kotor.
Apa yang ‘kotor’ sangat dengan tuntutan Bersih itu? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.