KUALA LUMPUR: Walaupun ditekan dengan pelbagai asakan, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada polis dan media BN kerana membuat promosi percuma untuk perhimpunan Bersih 9 Julai ini.
"Apa pun kami berterima kasih kepada polis, pak menteri dalam negeri, Perkasa, pemuda Umno, Utusan Malaysia, RTM dan TV3 kerana tolong mempromosi secara percuma perhimpunan bersih pada 9 julai ini.
"Segala 'jasa baik' kamu tersebut kami serahkan pembalasannya pada Allah," kata peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), AJK PAS Pusat.
Namun begitu, kredibiliti timbalan ketua polis negara dipertikaikan beliau dan disifatkan sebagai bukan sahaja jahil undang-undang bahkan beliau telah menyalahguna kuasa.
Hanipa mempertikaikan "Adakah orang sebegini yang akan menjadi Ketua Polis Negara kelak?"
Hanipa membuat kenyataan itu ketika mengulas kenyataan Datuk Sri Khalid Abu Bakar yang berkata, sebarang permohonan permit tidak akan dilayan untuk mengadakan perhimpunan Bersih.
Bagi beliau, kerajaan BN merestu tindakan polis yang menyalah gunakan kuasa itu.
Bagi Hanipa yang menang dengan undi yang besar dalam pemilihan pimpinan PAS Pusat baru-baru ini, hasrat menganjurkan perhimpunan bersih secara aman pada 9 julai ini yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menerima reaksi 'gila' dari Kerajaan zalim BN yang menggunakan instrumen Polis untuk mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat.
Katanya, pelbagai tuduhan tidak masuk akal digunakan oleh polis untuk mengganggu program bersih .
Tuduhan paling 'common' adalah perhimpunan bersih adalah perhimpunan haram kerana tiada permohonan permit dikemukakan, katanya.
"Hakikatnya polis yang suka perhimpunan haram diadakan kerana Timbalan Ketua Polis Negara sendiri dilaporkan berkata sebarang permohonan permit tidak akan dilayan.
"Apa gunanya permohonan permit dipohon jika Timbalan KPN sendiri menyatakan permohonan tersebut tidak akan dilayan," kata Hanipa.
Sebenarnya, kata Hanipa, kenyataan Timbalan KPN tersebut adalah bercanggah dengan sekyen 27 Akta Polis 1967 kerana tugas meluluskan permit adalah di tangan Ketua Polis Daerah (KPD) .
"Jika Timbalan KPN sudah mendahului KPD apakah jaminan KPD akan berani mengatasi keputusan Timbalan KPN? Adalah jelas Timbalan KPN bukan sahaja jahil undang-undang bahkan beliau telah menyalahguna kuasa beliau . Adakah orang sebegini yang akan menjadi Ketua Polis Negara kelak ?" soal beliau.
Tuduhan lain terhadap bersih adalah perhimpunan bersih akan menjejaskan keselamatan negara dan mengganggu keamanan.
"Bagaimanakah suatu perhimpunan yang belum diadakan sudah diketahui akan menjejaskan keselamatan dan mengganggu keamanan? Adakah polis bertindak sebagai pak nujum di sini?" katanya.
Penganjur Bersih, jelas beliau, telah berulang kali menyatakan perhimpunan yang ingin diadakan adalah perhimpunan aman bagi menuntut satu pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini.
Jika benar ia mengganggu keamanan maka sudah tentu ia bukan datangnya dari bersih sebaliknya boleh dihujahkan datang dari mereka yang ada ajenda buruk ingin mengganggu perhimpunan aman bersih, tegasnya.
Selanjutnya adalah menjadi tugas polis menjaga keamanan dan polis sepatutnya menolong bersih dari gangguan anasir -anasir yang ingin mengganggu keamanan perhimpunan bersih.
Hanipa yang menang beberapa kes saman terhadap polis berkata, polis mesti jujur dan profesional.
"Adakah perhimpunan bersih yang ingin diadakan secara aman akan menjejaskan keselamatan negara atau ianya menjejaskan keselamatan Umno dan BN? Sejarah membuktikan polis di negara ini gagal membezakan antara keselamatan negara dan keselamatan Umno ?" tambah Hanipa.
Katanya, Bersih mempunyai rekod yang bersih menganjurkan perhimpunan ratusan manusia di Kuala Lumpur secara aman dan polis pula mempunyai rekod yang kotor mengganggu perhimpunan aman bersih.
Mahkamah sendiri telah menyatakan di dalam kes perhimpunan bersih yang pertama dahulu bahawa perhimpunan bersih adalah aman dan tidak menjejaskan keamanan sebaliknya polis yang menganggu perhmpunan aman tersebut.
Saksi-saksi polis yang memberi keterangan di dalam kes bersih sendiri mengakui semasa di soal balas oleh peguambela bahawa perhimpunan bersih yang pertama adalah aman dan tidak menjejaskan negara.
"Untuk rakyat yang cintakan demokrasi dan pilihanraya yang adil dan bersih marilah sama sama kita beramai ramai menyertai perhimpunan aman bersih pada 9 hb Julai 2011 ini. Buktikan pada semua bahawa kita adalah rakyat yang cintakan keamanan dan demokrasi yang tulin," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.