Segenap penjuru Umno-BN dibenci dan ‘diludah’ dek perangai buruknya sendiri. Bukan kerana siapa, tetapi rakyat sudah mula menyampah dengan perangai pemimpin-pemimpin Umno-BN yang masih lagi tak insaf-insaf dan sedar diri, terus menerus menyalahgunakan kuasa yang diberi rakyat setiap kali pilihanraya umum diadakan.
Segenap lapisan masyarakat sudah mula memberi nilaian negatif kepada Umno-BN. Kerana sayangkan Malaysia, rakyat mula menunjukkan jalan keluar buat Umno-BN untuk dikuburkan. Bermula dari bawah, pertengahan hingga ke atas, NGO dan persendirian, golongan aktivis, artis dan sasterawan, mereka semua sudah berani menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan Umno-BN yang tidak mudah diinsafkan.
Negara semakin tidak keruan, ekonomi negara semakin mengecut, indeks moral muda-mudi semakin hancur, amalan rasuah sudah jadi makanan harian, khazanah negara milik rakyat dipunggah sesama sendiri (kroni), kehidupan rakyat ditekan dan dibuli, harga barangan semakin menggila, yang miskin semakin tertindas, pemimpin semakin kaya-raya dengan hasil rompakan hasil mahsyul negara.
Jika ini berlarutan, rakyat mana yang tidak marah. Rakyat Mesir yang memerlukan masa begitu lama untuk bertindak terhadap rejim Hosni Mubarak yang bukan sahaja mengumpul berbilion ringgit harta rakyat untuk poket sendiri dan keluarga, bahkan tanpa rasa bersalah, sewenang-wenangnya menumpahkan darah rakyat. Kini Hosni Mubarak sudah dihapuskan. Semuanya kerana tekanan melampau yang dihadapi rakyat.
Selebriti bersama rakyat
Golongan artis dan selebriti sudah mula membuka mata. Mereka sudah mula mengerti erti kehidupan. Mereka sudah mula tahu akan kebejatan yang berlaku di negara ini. Mereka sudah tidak takut lagi untuk bersama rakyat yang mahukan keadilan. Walaupun ada yang memandang sinis, tetapi itu asam garam perjuangan yang tidak mudah dilalui. Perjuangan kebenaran bukannya disaluti emas, dihampar karpet merah, disambut dengan bunga mangga tetapi tohmahan, fitnah, ISA dan belasahan polis.
Itu semua bukan pelik lagi di negara ini. Ia sudah menjadi rutin kerajaan Umno-BN untuk menyekat suara rakyat.
Kerana itulah, kini Umno-BN berdepan dengan satu lagi senjata ‘unik’ rakyat jelata iaitu puisi yang diperjuangkan oleh para sasterawan yang dulunya dialunkan untuk asyikan syahdu namun ini ia sudah menjadi ketakutan kepada para pemimpin Umno-BN.
Sasterawan negara gunakan puisi lawan keangkuhan Umno-BN
Dipetik dari Tranungkite, polis atas kerahan orang atasan telah menjalankan siasatan ke atas Sasterawan negara Datuk A Samad Said konon puisi beliau disabitkan dengan Akta Hasutan.
A Samad berkata, siasatan polis yang dijalankan ke atasnya menunjukkan puisi telahpun menjadi "satu senjata" dan bukan lagi satu hiburan semata-mata.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa sedih ke atas tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan, sedangkan puisinya itu mengandung niat "murni."
"(Sasterawan) yang ingin rakam keadaan yang buruk (disiasat) dengan penuh prasangka, itu menyedihkan saya.
"Saya kata kita perlu mempersuci demokrasi bukan untuk keruhkan," katanya yang turut menjelaskan bahawa puisi itu bertujuan untuk memperbaiki sistem sedia ada.
Tidak mustahil, Umno-BN akan berhadapan seluruh dan segenap lapisan masyarakat Malaysia dalam pilihanraya ke 13 nanti. Bancian The Star tempoh hari amat senang difahami, 99% responden mahu hak rakyat diberikan. Apa lagi Umno-BN ada selain balaci dan barua yang sekarang ini berlumba-lumba mencipta fitnah dan pembohongan di dada-dada akhbar mereka dengan tuduhan berniat jahat dan provokasi murahan.
Kini, Umno-BN beserta media perdana miliknya bukan lagi bermusuhan dengan Pakatan Rakyat semata-mata, bahkan kini menjadi musuh rakyat Malaysia keseluruhan. Umno-BN akan gunakan apa sahaja untuk menyekat kebangkitan rakyat sendiri selepas ini, dan tidak pelik apa yang dilakukan Hosni Mubarak terhadap rakyatnya juga turut dipelajari oleh Umno-BN untuk terus mengekalkan kuasa mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.