Rabu, 29 Jun 2011

Polis halau keluarga anggota PSM yang ditahan

Mohd Sabri Said


KEPALA BATAS: Hasrat keluarga anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan polis untuk berkampung di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kepala Batas malam ini tidak kesampaian apabila mereka dihalau pada waktu Maghrib tadi.

Seramai 30 orang ahli keluarga mangsa 30 orang yang ditahan reman di tiga lokasi berasingan di Pulau Pinang bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap tangkapan yang nyata bercanggah dengan tujuan asal rombongan terbabit yang hanya mahu menghadiri kempen 'Udah BN... Bersaralah' yang dijadualkan di Sungai Ara, Pulau Pinang dua hari lepas.

Bas yang turut dinaiki Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj ditahan polis di Tol Sungai Dua ketika ingin ke Sungai Ara untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan. Beliau merupakan salah seorang pemidato malam tersebut.

Menurut Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan (kiri) kedatangan mereka ke IPD Kepala Batas semata-mata mahu melihat kaum keluarga yang ditahan bukan berniat mahu menimbulkan huru hara atau berdemo.

Berilah peluang untuk keluarga yang ditahan melawat atau bertanya khabar ahli keluarga bukan membiarkan mereka bersendirian menanggung masalah yang dicipta oleh polis kononya mereka hendak melawan Yang di-Pertuan Agong dan mahu menghidupkan fahaman komunisme.

"Berilah peluang kepada waris melihat atau bertanya khabar mangsa dalam lokap polis. Apa salah mereka sehingga ditahan dan direman. Ini satu pencabulan hak," tegasnya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat PSM, A. Sivarajan yang turut berada di lokasi berkenaan kesal kerana pihak polis baru bertindak setelah dua puluh laporan polis dibuat sejak pagi tadi di dua lokasi iaitu di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dan IPD Kepala Batas.

Katanya, antara dua daripada dua puluh laporan polis itu ialah meminta pihak polis menyampai ubat penyakit jantung kepada Dr Jeyakumar Devaraj namun sampai tengah hari tadi belum diserahkan.

Tetapi, ujarnya setelah diasak dengan laporan polis barulah mereka membawa beliau ke hospital untuk rawatan.

Belau berkata, bukan sahaja Dr Jeyakumar Devaraj menghadapi masalah tersebut sebaliknya pemandu bas turut dinafikan menerima ubat harian.

"Kenapa mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia yang sah. Kenapa Kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu gentar terhadap Himpunan Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) sehingga menangkap secara mendadak," jelasnya.

Harakahdaily dimaklumkan seramai 7 orang masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, seramai 21 lagi di IPD Kepala Batas dan dua orang iaitu anak Dr Jeyakumar, Raveen dan rakanya, Thivyakumar masing-masing berumur 18 tahun kini berada di lokap Balai Polis Sungai Dua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.