Ditulis oleh Hadri Yaziz
PETALING JAYA: Keraguan mengenai pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan oleh trio 'Datuk T' terjawab apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memaparkan sebuah dokumentari pendek menjelaskan secara terperinci video yang dipercayai direkayasa untuk menjatuhkan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Video sepanjang 40 minit itu ditayangkan kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR selepas mahkamah tinggi pagi tadi menjatuhkan hukuman denda kepada ketiga-tiga individu yang mengaku bersalah menayangkan video lucah kepada umum pada 21 Mac lalu.
Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang mengaku bertanggungjawab sepenuhnya menyiarkan dokumentari itu menjelaskan tujuan ianya dipaparkan adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat menilai dari aspek ketulenan fizikal pelaku.
"Saya menunggu masa yang sesuai. Tidak ada sebab untuk kita lawan di mahkamah. Saya sendiri bertanggungjawab (ke atas video) dan ini apa yang saya percaya.
"Saya tidak tuduh siapa-siapa tapi saya mahu beri peluang kepada masyarakat untuk lihat dan menilai," ujar beliau.
Dokumentari tersebut memaparkan Johari sebagai pengacara memberi penerangan mengenai bentuk tubuh badan pelaku yang amat berbeza dengan Anwar.
Ini termasuk pendedahan terbaru memperlihatkan individu dalam rakaman video tersebut memakai cermin mata walhal Anwar tidak.
Selain itu bentuk fizikal seperti perut, punggung, hidung, tali pinggang dan rambut yang digunting rapi ternyata amat bercanggah dengan susuk tubuh dan cara pemakaian Ketua Pembangkang.
Dalam dokumentari itu turut memuatkan sedutan video di mana Johari telah melawat ke negara Thailand untuk bertemu jurusolek profesional yang boleh mengubah rupa beliau mirip seniman P. Ramlee.
Ternyata hasil yang ditunjukkan kepada media memperlihatkan wajah beliau amat mirip dengan seniman agung itu dalam gambar hitam putih.
"Saya sampai ke Bangkok untuk ubah wajah saya. Jelas teknologi ini wujud," katanya lagi.
Johari kemudian memberitahu media bahawa beliau mengambil masa 34 hari untuk menyiapkan dokumentari itu termasuk menggunakan sumber kewangan sendiri dan bantuan pihak tertentu.
Sehubungan dengan itu beliau berkata dokumentari tersebut akan dimuat naik di laman Youtube jam 4 petang ini dan menggesa rakyat untuk memuat turun dan meneliti perkara yang cuba disampaikan dalam video berkenaan.
Pagi tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,500 kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Shuib Lazim dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana didapati bersalah secara terbuka menayangkan video lucah kepada umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.