KUALA LUMPUR — Dengan nada serius, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) bersama 50 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa masyarakat India agar “mengundi” keluar Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya kerana gagal menyelesaikan isu kontroversial novel Interlok.
Tegas Presiden NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim, pihaknya telah diberikan mandat oleh NGO agar membuat satu keputusan serius kerana sehingga kini isu novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain masih belum dapat diselesaikan.
Jelas beliau, pihaknya tetap bertegas mahu novel Interlok yang menjadi komponen sastera tingkatan lima ditarik balik.
“Kami sudah lakukan macam-macam agar novel ini ditarik balik, namun kerajaan tetap enggan novel Interlok ini ditarik balik (daripada digunakan di sekolah), ini isu Malaysia bukan isu masyarakat India tapi semua rakyat.
“Jadi pengundi-pengundi India perlu undi BN keluar dari Putrajaya, ini bukan keputusan NIAT tapi keputusan NGO sekali kerana mereka sudah kecewa dengan apa yang berlaku sekarang,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan laporan “150 Hari NIAT” di sini petang ini.
Menurut Thasleem, keputusan itu dibuat ekoran keangkuhan Putrajaya melalui Kementerian Pelajaran yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berkeras agar novel Interlok digunakan di sekolah.
Novel Interlok yang kontroversial hanya digunakan di sekolah-sekolah di Zon II iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Kita sudah lama bersabar, tetapi disebabkan keangkuhan kuasa Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) merangkap Menteri Pelajaran mereka tidak fikirkan demi kepentingan ralyat.
“Kami setuju dengan cadangan NGO ini, kami serius apa yang kami lakukan dan pintu rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri sudah tamat,” kata Thasleem.
Justeru, beliau mahu supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam isu ini, seterusnya mengambil tindakan segera agar ia tidak berlarutan.
“Kami mahu Perdana Menteri masuk campur, kalau Perdana Menteri tidak boleh mengambil apa-apa, tindakan konsep 1 Malaysia itu sia-sia.
“Kami terpaksa masuk campur dalam politik sebab kerajaan tidak mahu dengar permintaan kami, tetap mahu berkeras menggunakan novel ini di sekolah.
“Sudah sampai masa kami libatkan diri dengan politik sebab kerajaan juga bermain politik, kami mahu novel Interlok ini ditarik balik sebab, kalau kita lihat kerajaan menipu rakyat ... apa yang dijanjikan langsung tidak dilaksanakan,” tegasnya.
Tambah Thasleem, pihaknya kekal dengan pendiriannya bahawa novel Interlok perlu ditarik balik daripada penggunaan dalam sukatan pelajaran SPM kerana ia akan menjejaskan integrasi kaum dan agama, bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia, bertentangan dengan hak asasi manusia dan mengganggu gugat persefahaman yang sedia terjalin di kalangan kaum Melayu, India dan Cina.
Isu kontroversi Interlok yang dilihat sudah reda dengan keputusan tiga bulan lalu muncul semula apabila Putrajaya menggunakan pendekatan pelekat khas akan digunakan untuk menyelesaikan sama sekali perkara tersebut.
Namun Putrajaya memutuskan untuk mencetak semula novel Interlok.
Tegas Thasleem, beliau juga akan membawa isu novel Interlok ke peringkat antarabangsa sekiranya Putrajaya masih enggan berubah fikiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.