KUALA LUMPUR – Kabinet dalam mesyuarat mingguannya esok dijangka akan mencari jalan penyelesaian berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) – sama ada perlu menambah kuota biasiswa ke luar negara bagi menampung 86 kes pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, langkah itu kemungkinan akan memberi implikasi kepada pembahagian biasiswa pada masa depan kerana JPA hanya memperuntukkan bantuan kewangan bagi 1,500 pelajar untuk ke luar negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) berkata, Kabinet tiada keberatan untuk membenarkan permohonan biasiswa bagi 86 pelajar terbabit, namun ia tidak bermakna akan meningkatkan jumlah biasiswa.
“Kami akan meneruskan perkara ini mengikut keperluan sesuatu tahun,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan membenarkan rayuan serupa pada masa depan.
Nazri, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal JPA juga mengumumkan bermula tahun depan agensi itu akan membuat penjelasan terperinci sebelum mengagihkan pemberian biasiswa bagi mengelakkan kekeliruan.
“Sebelum kami mengumumkan keputusan mengenai biasiswa, JPA akan memberikan taklimat terlebih dahulu kepada media... menjelaskan bagaimana biasiswa ini akan diagihkan dan bentuk biasiswa. Kami akan lakukan setiap tahun bermula sekarang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.