Sambil mengakui wujud gambaran sedemikian dan digambarkan sebagai sebuah parti yang hanya suka mengadakan demonstrasi, Ketua Pemuda PAS itu berkata, kini pihaknya mengambil pendekatan berbeza.
“Saya menyedari bahawa kebelakangan ini ada tanggapan sedemikian, ekoran perkembangan semasa yang berlaku, kami dipaksa bertindak (mengadakan demonstrasi), tetapi bukan sengaja mahu mengadakan demonstrasi,” kata beliau dalam temu bual bersama The Malaysian Insider menjelang Muktamar Dewan Pemuda PAS pusat di sini.
“Kami buat aduan polis tapi disia-siakan, kami serah memorandum disia-siakan, maka mahu tidak mahu rakyat bangkit dan mengadakan demonstrasi bantahan,” kata beliau.
“Bukan bermakna kami Pemuda ini hanya berdemonstrasi tetapi kami membawa perasaan rakyat yang tidak ada ruang untuk membantah... itu perkara biasa,” katanya.
Tetapi tegas beliau, parti politik persaingan seperti komponen Barisan Nasional (BN) pun mengadakan demonstrasi, bukan Dewan Pemuda PAS sahaja.
“Tetapi yang itu tidak ditimbulkan,” kata beliau yang mempertahankan jawatannya buat penggal kedua tanpa cabaran hari ini.
Nasrudin yang sinonim dengan pakaian mencerminkan perwatakan kepimpinan ulama berbanding bekas-bekas penyandang jawatan itu sebelum ini berkata, beliau sedang berusaha untuk mengikis imej bahawa PAS khususnya sayap pemuda adalah “ekstrem”.
Katanya, dalam kebanyakan masa imej Dewan Pemuda PAS diburukkan oleh media dan dipaparkan bahawa PAS ini ‘sebuah parti yang ekstrem.”
“Walhal kita adalah sebuah parti yang selalu mendukung semangat toleransi, semangat keterbukaan, sedia berbincang dalam apa jua isu,” katanya dengan menekankan bahawa pihaknya juga mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti Hari Belia anjuran kerajaan baru-baru ini.
Mengenai bantahan konsert yang membawa kepada imej konservatif dan ekstrem, Nasrudin berkata, pihaknya tidak membantah setiap konsert yang diadakan di negara ini.
“Tidak, tidak. Kami tidak bantah semua konsert. Kami hanya membantah jika ada konsert yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam, cuma konsert yang menyuburkan budaya songsang.
“Itupun kami tidak membantah di hadapan stadium atau lokasi konsert diadakan sehingga ia dihentikan, tetapi hanya mengedarkan risalah mengenai soal hukum konsert dari sudut Islam... yang tidak sopan itu, kami tidak setuju,” katanya.
Kata Nasrudin, pihaknya sejak kebelakangan ini menggunakan pendekatan didikan dengan mengedar risalah, bukannya berdemonstrasi sejak kebelakangan ini.
“Kami pun faham bagi sesetengah pihak soal hiburan diperlukan, perlu berhibur, kami tidak boleh halang... kami pun ada mengadakan program silang budaya, menyambut hari-hari tertentu,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.