Rabu, 1 Jun 2011

Muslimat pastikan undi kepada PAS meningkat

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat akan mengambil peluang pada muktamar mereka kali ini untuk membahaskan beberapa perkara penting menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh (gambar) berkata ucap temanya juga akan memfokuskan kepada peranan muslimat di semua peringkat untuk menghadapi PRU ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

"Tahun ini, kita mengadakan muktamar di ambang pilihan raya umum ke-13. Ada beberapa perkara yang menjadi keutamaan kita menjelang pilihan raya umum ini.

"Insya Allah kita akan bersama mempertegaskan peranan yang perlu dimainkan oleh segenap peringkat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan juga berkata, tenaga muslimat amat diperlukan untuk terus konsisten dalam gerak kerja dalaman dan luaran parti bagi memastikan undi terhadap PAS meningkat.

"Dewan Muslimat juga berhasrat agar kita istiqamah bekerja kerana kita telah menerima amanah dan menjadikan diri kita pendokong yang berkualiti dan aset kepada jemaah.

"Suara muslimat amat diperlukan untuk mendekati pengundi khususnya wanita," katanya.

Selain itu, beliua turut menyeru seluruh perwakilan menggunakan peluang yang ada untuk berbahas secara rasional dan matang serta menjadikan muktamar kali ini sebagai medan untuk muhasabah segala gerak kerja yang telah dilakukan.

"Para perwakilan diharap dapat membahaskan beberapa perkara dengan matang dalam suasana harmoni dengan tujuan mengukuhkan ukhuwah dan selari dengan penegasan dan komitmen untuk bekerja engan lebih gigih dan lebih bersemangat untuk memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 akan datang," katanya.

Menyentuh mengenai usul yang telah diterima untuk dibahaskan pula, ketua penerangan, Salbiah Wahab berkata terdapat lima usul yang akan dibahaskan iaitu persiapan menghadapi PRU 13, meolak pembinaan loji nadir bumi di Gebeng, Pahang, mewujudkan pusat maklumat dan penerangan PAS, isu kepenggunaan dan meletakkan ketua muslimat untuk bertanding pada pilihanraya di kawasan yang 'selamat'.

Muktamar Dewan Muslimat kali ke 51 ini akan berlangsung pada 2 Jun ini di Dewan Bankuet, bangunan SUK, Shah Alam, Selangor.

Ia akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdapat beberapa wakil NGO akan menghadiri muktamar ini termasuk wakil-wakil dari Gerakan mansuhkan ISA (GMI), Jaringan Rakyat Tertindas, dan beberapa NGO lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.