KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sekali lagi mengulangi desakannya agar Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu meletak jawatan.
Desakan itu dinyatakannya hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui wujud "pengundi hantu" dalam rumah ibu Ahli Parlimen Gombak itu yang beralamat di Kg. Klang Gate Baru.
"Wan Ahmad Wan Omar cabar saya buktikan dakwaan wujud pengundi hantu. Saya buktikan dan SPR akui. Wan Ahmad wajib berundur," katanya. Pada satu kenyataan media hari ini, Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria mengakui enam individu secara salah didaftar ke alamat rumah Ahli Parlimen Gombak itu. Kamaruddin berkata, lima keturunan Cina dan seorang Melayu didaftar di alamat rumah Azmin dan mengakui senario itu berlaku di kawasan lain. Mengakui juga SPR memiliki bidang kuasa terhad bagi mengatasi masalah itu, beliau meminta pengundi hantu di rumah Azmin dan kawasan lain supaya membuat penukaran alamat yang dipercayai berdasarkan alamat kad pengenalan. Sebelum ini, Azmin dicabar Wan Ahmad agar membuktikan dakwaannya bahawa ada penipuan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.
Wan Ahmad berkata, Azmin tidak bercakap benar dalam isu itu.
Menyahut cabaran itu, Azmin ketika berucap pada Konvenysen Pilihan Raya KEADILAN minggu lalu kemudiannya mendedahkan rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate memiliki 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina sedangkan ibunya tinggal berseorangan.
Nama yang didaftar di rumah ibunya ialah Mohamed Azmin Ali, Tan Teek Hock, Shamshida Taharin, Mohamed Azwan Ali, Lokman Abdul Rashid, Moufed Yazli Mohd Yazit, Aminudi Harun, Cgee Tom Yahaya, Tan Teek Fong dan Lim Hock Seng.
Bukti penyelewengan itu ujar Azmin berdasarkan daftar pemilih induk terbaru yang diwartakan 13 Mei lalu.
Sehubungan itu beliau mahu Wan Ahmad yang juga disifatkannya sebagai "Ketua Umno dalam SPR" meletak jawatan segera.
"Kekalkan Wan Ahmad Wan Omar di SPR adalah menghina institusi YDP Agong kerana institusi Raja adalah institusi yang mulia dan adil", tulisnya di Twitter.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan penipuan SPR itu sebagai "bodoh" kerana melibatkan rumah pimpinan tertinggi PKR.
Beliau juga turut mencabar Wan Ahmad meletak jawatan dan bertanding atas tiket Umno melawan Azmin di Gombak pada pilihan raya umum nanti. Pembuktian itu juga jelasnya antara faktor kenapa Himpunan Bersih 2.0 yang dijadual 9 Julai ini wajar diadakan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.