Isnin, 27 Jun 2011

Akta Kg Baru: Respons referendum ‘dingin’, MAS minta tangguh bahas




Salah satu kain rentang bantah Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 digantung di salah satu rumah yang berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR — Majlis pentadbir Kampung Baru meminta Putrajaya agar menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 memandangkan respons ke atas referendum melibatkan pemilik tanah eksekutif orang Melayu itu masih perlahan.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu, hasil pindaan ekoran protes sebelum ini, dijadual untuk dibentangkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Dewan Rakyat minggu ini.

Sesi Parlimen seterusnya hanya akan berlangsung Oktober ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Shamsuri Suradi, pihaknya belum menerima keseluruhan borang referendum yang dihantar kepada pemilik dan pewaris tanah untuk membuat keputusan.

The Malaysian Insider difahamkan sehingga Jumaat lalu hanya sekitar 30 peratus borang referendum telah diperoleh kembali.

Ekoran kegagalan mendapatkan maklum balas menyeluruh, jelas Shamsuri, pihak mahu bacaan kali kedua rang undang-undang itu ditangguhkan.

“Kita ada 800 lot tanah tapi selepas ditolak tanah milik syarikat, kita ada lebih kurang 700 lot tanah milik persendirian dan sehingga kini kita masih menanti jawapan daripada mereka yang banyak menetap di luar Kuala Lumpur.

“Kita masih lagi menanti dan menerima borang referendum daripada pemilik dan pewaris melalui surat dan juga yang hadir ketika sesi penerangan, oleh yang demikian saya merasakan adalah lebih baik kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua kerana pandangan muktamad untuk menubuhkan perbadanan terletak dalam tangan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tiada ‘deadline’ bagi referendum itu.

Kata beliau adalah lebih baik Putrajaya mengambil kira pandangan pemilik dan pewaris tanah dalam membuat sebarang keputusan susulan.

“Dalam tempoh terdekat saya rasa kita tidak akan dapat keputusan, kena ambil masa lagi,” katanya.

Tambah Shamsuri, jika Putrajaya masih membentangkan bacaan kali kedua di Parlimen beliau bimbang pemilik dan pewaris tanah akan bertambah marah.

“Kenalah tunggu sampai keputusan referendum keluar, itu lebih baik.

“Lebih baik begitu daripada kerajaan meneruskan tanpa mendapat persetujuan pemilik dan pewaris tanah,” katanya.

Tiga minggu lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah mengadakan sesi penerangan berhubung rang undang-undang itu yang dipinda ekoran protes pemilik dan pewaris tanah.

Dalam kesemua sesi penerangan itu, pemilik dan pewaris tanah dari tujuh kampung diberi borang Referendum Pembangunan Kampung Baru untuk tujuan penilaian Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

Borang itu menyenaraikan tiga soalan iaitu sama ada pemilik tanah bersetuju dengan cadangan kerajaan mahu membangunkan semula Kampung Baru, syor diadakan sebuah perbadanan pembangunan yang akan bertindak sebagai penyelaras utama dan agar pembangunan di kawasan itu dilaksanakan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan.

Hasil sesi penerangan itu kementerian tersebut berkata status rang undang-undang itu akan diserahkan kepada Kabinet jika referendum menunjukkan usaha kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti.

Rang undang-undang itu dibawa ke Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu untuk bacaan kali pertama bagi membolehkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun bacaan kali kedua yang dijadual pada Mac lalu ditangguhkan sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa diperhalusi ekoran bantahan yang dikemukakan pemilik dan pewaris tanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.