Selasa, 31 Mei 2011

UMNO bersiap hadapi PRU-13



SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA – UMNO perlu memberi kefahaman kepada mereka yang tidak dipilih sebagai calon supaya tidak kecewa dan mengambil tindakan negatif termasuk meninggalkan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti sentiasa menegaskan jawatan bukan jaminan dipilih sebagai seseorang itu menjadi calon dalam pilihan raya.

“Kita perlu bimbing, bincang dan mengambil kata sepakat dengan mereka supaya dapat menerima hakikat tidak dipilih sebagai calon, tetapi kekal dalam parti.

“Bagi memastikan perkara itu tidak berlaku apabila menghadapi pilihan raya akan datang, parti perlu memberi kefahaman kepada pemimpin supaya tidak kecewa dan mengambil tindakan negatif. Tidak semestinya mereka yang berjawatan ketua bahagian jadi calon, ini yang dikatakan transformasi parti,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya semalam.

Katanya, tuntutan dipilih sebagai calon adalah perkara biasa dalam politik.

“Itu memang kebiasaan dalam mana-mana politik sekalipun, tetapi yang penting kita akan memastikan calon itu benar-benar layak dan merupakan ‘winnable candidate’.

“Individu tertentu tidak perlu menuntut menjadi calon kerana belum tentu menjanjikan kemenangan, kerana yang menentukan kemenangan adalah rakyat dan bukannya parti dan individu,” katanya.

Katanya, pimpinan parti perlu mendengar dan memahami suara rakyat kerana akhirnya kuasa itu datang daripada masyarakat.

“Parti dan pimpinan boleh tentukan siapa yang calon, tetapi akhirnya rakyat akan hukum jika calon yang dipilih itu tidak kena.

“Nafsu untuk menjadi calon tidak mengapa kerana dalam perjuangan sistem demokrasi adalah menyuburkan keperluan dan kehendak suara tidak harus dikongkong tetapi perlu bertempat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, persediaan parti penting dalam memenangi PRU-13 terutama dalam mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) dan mengembalikan semula negeri yang ditawan pembangkang.

“Pilihan raya tetap akan dilaksanakan sama ada mahu ataupun tidak (sekurang-kurangnya) pada 2013, tetapi perlu ada persediaan.

“Parti telah bersedia terutama (kejayaan) dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, tetapi kita tidak boleh alpa kerana (fenomenanya) berbeza,” katanya.

Beliau berkata, parti perlu bersedia kerana senario pilihan raya kecil dan pilihan raya umum berbeza kerana ia lebih besar dan meliputi seluruh negara.

“Kita perlu bersedia daripada sekarang terutama perpaduan dalam parti, jentera parti bersama pejuang-pejuang di setiap peringkat dengan satu matlamat iaitu untuk menang dalam pilihan raya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.